SAMA ada hendak diakui atau tidak, ketika ini kerajaan sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya bagi mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup.
Dalam masa sama, kerajaan juga bertanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat bagi memastikan segala mandat yang diperoleh dalam pilihan raya umum lalu dapat dilaksanakan dengan jaya.
Tetapi sama ada pelaksanaan dasar atau program kerajaan itu berjaya atau tidak ia terletak kepada kira-kira 800,000 penjawat awam di seluruh negara. Di bahu merekalah terpikul amanah dan tanggungjawab untuk memastikan usaha kerajaan dalam membela nasib rakyat akan terbela.
Sebab itulah, komitmen jitu daripada penjawat awam amat diharapkan dan bukannya mereka sahaja mengharapkan ganjaran daripada kerajaan seperti kenaikan gaji, elaun mahupun bonus.
Perkara ini dibangkitkan kerana sehingga hari ini masih terdapat rungutan bagaimana ada penjawat awam yang tidak melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan berkesan atau bersungguh-sungguh. Ada antara mereka masih bersikap sambil lewa biarpun ada antaranya melibatkan pelaksanaan dasar-dasar penting kerajaan.
Penjawat awam perlu memahami bahawa mereka nadi kepada kerajaan yang memerintah, jika mereka tidak menyempurnakan tugas dengan berkesan yang akan menanggung risikonya bukan sahaja kerajaan tetapi negara secara keseluruhannya.
Penulis difahamkan di jabatan-jabatan kerajaan tertentu masih ada penjawat awam yang begitu 'liat' untuk memastikan apa yang dibentang dan digariskan oleh kerajaan dalam soal memberi perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan dengan sempurna.
Kerajaan mempunyai dasar, program dan perancangan yang baik serta sempurna tetapi ia menjadi sia-sia apabila ada dalam kalangan penjawat awam mengamalkan sikap 'melepas batuk di tangga sahaja' apabila menjalankan tugas mereka.
Sememangnya kita tidak berasa iri hati terhadap apa juga yang diperjuangkan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi meningkatkan kebajikan penjawat awam tetapi biarlah ia berbaloi dengan ganjaran yang diterima.
Sebab itulah, penjawat awam perlu mendengar nasihat Presiden CUEPACS, Azih Muda yang meminta kakitangan awam meningkatkan daya saing serta memberikan khidmat terbaik sejajar dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.
Tetapi masalahnya penulis difahamkan masih terlalu banyak kelemahan di peringkat pelaksanaan oleh penjawat awam dalam melunaskan misi kerajaan. Malah di sesetengah jabatan atau kementerian ada pegawai kanan kerajaan yang merasakan dirinya lebih hebat daripada pak menteri.
Seorang anggota Kabinet pernah menceritakan kepada penulis bagaimana susahnya beliau hendak memastikan arahan yang dikeluarkan dipatuhi oleh pegawai kanan di kementeriannya. Ada sahaja alasan yang diberikan, kalau dilaksana pun ia mengambil masa berbulan-bulan biarpun melibatkan perkara kecil.
Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada penjawat awam begitu perlahan untuk memberi jawapan kepada anggota Kabinet terhadap sesuatu perkara yang dibangkitkan oleh media dan penting diketahui oleh rakyat.
Menyentuh soal ini, adalah wajar selain melaksanakan tanggungjawab membela kebajikan penjawat awam, CUEPACS juga perlu rajin untuk mengadakan pertemuan dengan menteri bagi mengetahui situasi sebenar bagaimana penjawat awam di sesebuah kementerian melaksanakan tugas mereka.
Tujuannya bukanlah untuk mencari kesalahan sebaliknya memperbaiki kelemahan kerana harapan rakyat terhadap kerajaan terlalu tinggi apatah lagi apabila ia berkaitan dengan kehidupan harian mereka.
Janganlah kerana sikap penjawat awam yang tidak komited dalam tugas mereka, akhirnya yang akan dihukum ialah kerajaan. Oleh itu masanya sudah tiba untuk semua pihak mengkaji secara teliti pelaksanaan tugas oleh penjawat awam, jika ada antara mereka sudah tidak mampu melaksanakan dasar, program dan arahan kerajaan maka 'tunjukkan pintu keluar' untuk mereka.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE
No comments:
Post a Comment