Tuesday, January 21, 2014

Langkah kurangkan perbelanjaan awam capai penjimatan RM400 juta

ALI Hamsa (barisan depan, tengah) bergambar bersama kakitangan awam yang lain sambil memegang buku 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 20 Jan. - Sebanyak RM400 juta perbelanjaan awam dapat dijimatkan pada tahun ini ekoran pengumuman 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, beberapa langkah penjimatan lain akan diumumkan tidak lama lagi bagi mengukuhkan kedudukan fiskal dan mengurangkan bajet defisit negara.

Beliau berkata, langkah berkenaan mencerminkan penjawat awam turut berkongsi impak pengurangan perbelanjaan bersama selaras dengan konsep 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam'.

"Satu garis panduan pengurangan kos utiliti elektrik akan diumumkan tidak lama lagi dan insentif khas akan diberikan jika berjaya dikurangkan sebanyak lima peratus.

"Langkah berhemat tersebut bagaimanapun tidak menyentuh soal kumpulan pelaksana perkhidmatan awam dan kebajikan mereka tidak akan diabaikan kerajaan," katanya ketika berucap dalam Majlis Amanah Ketua Setiausaha Negara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah.

Perdana Menteri pada 30 Disember lalu mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa 1 Januari 2014.

Menurut Najib, tindakan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah pada tahun 2014.

Ali memberitahu, walaupun kerajaan menghadapi cabaran ekonomi, kebajikan dan nasib penjawat awam tetap dititikberatkan.

Antaranya kata beliau, pengenalan elaun untuk bekerja lebih masa, penambahbaikan 81 skim perkhidmatan dan pelaksanaan Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Beliau dalam pada itu turut mengumumkan tindakan yang akan diambil terhadap salah laku penjawat awam ekoran Laporan Audit Negara pada hujung bulan ini.

"Jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan di peringkat kementerian dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan dan pendakwaan akan diambil terhadap mereka yang melakukan penyelewengan," katanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: