Thursday, January 9, 2014

SPRM tahan penjawat awam palsukan dokumen

ALOR SETAR 8 Jan. - Seorang kakitangan Jabatan Laut di Langkawi dekat sini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini atas kesalahan mengemukakan dokumen tuntutan perpindahan palsu bernilai RM1,900, tiga tahun lalu.

Lelaki berusia 38 tahun dari Melaka itu ditahan di pejabat SPRM negeri di sini kira-kira pukul 10 pagi.
Mengikut sumber SPRM, lelaki tersebut dikatakan membuat tuntutan palsu untuk perpindahan kenderaan dan barang miliknya menggunakan kapal kargo dari Kuala Kedah ke Langkawi.

"Lelaki tersebut mengemukakan dokumen tuntutan perpindahan palsu bernilai RM1,900 membabitkan perpindahan barangan termasuk dua motosikal, sebuah kereta dan sebuah lori tiga tan yang mengandungi barang rumah bagi kegunaannya yang baru berpindah untuk berkhidmat di Langkawi pada 14 Julai 2011.

"Dokumen palsu itu untuk mengelirukan ketuanya bagi mendapatkan tuntutan terbabit sedangkan perkhidmatan itu tidak disediakan," kata sumber itu di sini hari ini.

Katanya, suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Sementara itu Pengarah SPRM negeri, Raja Khan Raja Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: