Thursday, January 23, 2014

Tiada pembekuan perjawatan sektor awam


PULAU PINANG 22 Jan. - Pembekuan jawatan dalam sektor awam tidak termasuk dalam 11 agenda penjimatan kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam yang memaklumkan terdapat keperluan untuk mengisi kekosongan jawatan dalam jabatan atau agensi tertentu seperti perubatan, farmasi dan pergigian.

Menurutnya, sepanjang tiga minggu pertama tahun ini sahaja sebanyak 5,000 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam telah diisi dan ia dijangka meningkat setiap bulan sehingga hujung tahun.

Selain itu katanya, dijangka kira-kira 20,000 penjawat awam akan bersara wajib pada penghujung tahun ini dan ini membuka ruang kepada tenaga kerja baru untuk mengisi kekosongan yang ada.

"Pada tahun lalu seramai 65,000 pemohon telah berjaya mengisi kekosongan di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara daripada 2.1 juta permohonan.

"Jumlah pemohon pada tahun lalu meningkat sekali ganda berbanding hanya 1 juta pada 2012 dan ini membuktikan semakin ramai masyarakat yang yakin dengan kerjaya di sektor kerajaan," katanya kepada pemberita selepas sesi interaksi bersama kakitangan awam dan pertubuhan bukan kerajaan di Dewan Seri Pinang di sini hari ini.

Beliau turut mengadakan lawatan ke karnival pekerjaan yang disertai beberapa agensi seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia.

Tambahnya, di Pulau Pinang sahaja seramai 80,000 pemohon telah menghantar permohonan untuk mengisi kekosongan yang ada pada tahun lalu dan ia meningkat sekali ganda berbanding tahun 2012.

"Ini merupakan petanda positif apabila semua lapisan masyarakat kini semakin yakin untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan kerana pelbagai insentif yang ditawarkan.

"Malah kaum-kaum lain juga semakin menunjukkan minat dan persepsi bahawa jawatan dalam sektor kerajaan hanya untuk orang Melayu sahaja mula terhakis," ujarnya.

Selain itu katanya, pelbagai aktiviti seperti taklimat dan latihan percuma bagi menghadapi sesi temuduga, peperiksaan dan kursus turut ditawarkan kepada orang ramai yang berminat.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: