Saturday, February 15, 2014

Kejohanan sukan perkhidmatan awam pertama

NUSAJAYA - Malaysia akan menganjurkan kejohanan sukan perkhidmatan awam Asean yang pertama pada 2015, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
    
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) Malaysia berkata, penganjuran itu bersempena dengan Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Asean pada tahun itu.
    
"Kejohanan itu bakal mengumpulkan atlet dan pegawai perkhidmatan awam di kalangan negara anggota ASEAN dalam satu kejohanan sukan berbentuk karnival," katanya sambil menambah beliau pasti ia akan mendapat sokongan negara-negara anggota.
    
Beliau yang teruja dengan idea berkenaan percaya program itu mampu melonjakkan nama Maksak Malaysia serta memberi peluang kepada atlet perkhidmatan awam untuk meningkatkan prestasi demi meningkatkan imej perkhidmatan awam Malaysia di peringkat Asia Tenggara dan global.
    
Ali Hamsa mengumumkan perkara itu semasa berucap pada majlis malam anugerah Maksak Malaysia 2013 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar di sini malam tadi.
    
Beliau percaya ramai di kalangan anggota Maksak akan menyumbang dalam penganjuran kejohanan itu dalam pelbagai kapasiti.
   
Mengenai majlis itu, beliau berkata, ia merupakan acara tradisi tahunan bagi mengiktiraf komitmen badan-badan gabungan Maksak yang menyertai program-program Maksak sepanjang tahun lalu.
    
Ia juga bagi meraikan kejayaan anggota Maksak yang mengharumkan nama perkhidmatan awam negara di kejohanan-kejohanan sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


Sinar Harian Online

No comments: