Sunday, February 2, 2014

Pengorbanan pegawai awam

APABILA kerajaan mengumumkan perbelanjaan berhemat dengan memperkenalkan 11 langkah pada awal tahun ini, ia dibuat untuk mengurangkan perbelanjaan awam dengan tujuan utamanya membantu meminimumkan defisit kewangan negara dan membetulkan persepsi.

Langkah yang melibatkan secara langsung semua kakitangan awam ialah penurunan kos utiliti elektrik sebanyak lima peratus, pengurangan penggunaan syarikat pengurusan acara serta mengurangkan penyediaan makan minum semasa mesyuarat dan majlis rasmi kerajaan.

Terdapat juga langkah yang menjejaskan sesetengah pegawai kanan di peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) ekoran pengurangan imbuhan tetap keraian antara lima hingga 10 peratus, dan juga pengurangan kemudahan bayaran tol yang boleh dituntut daripada RM50 hingga RM100 sebulan.

Kelayakan kelas tempat duduk penerbangan untuk perjalanan domestik dan antarabangsa bagi penjawat awam juga dipinda. Semua pegawai JUSA C dan ke bawah kini mengambil penerbangan kelas ekonomi.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa mengunjurkan melalui langkah-langkah tersebut kerajaan boleh menjimatkan kira-kira RM400 juta setahun pada tahun 2014.

Jika diperincikan penjimatan itu, secara purata dalam sehari kakitangan dan pegawai kerajaan akan mengurangkan RM1.1 juta perbelanjaan, dan jika dibahagikan dengan 1.4 juta bilangan pekerja sektor awam yang berkhidmat di seluruh negara, secara purata setiap seorang menjimatkan kira-kira 78 sen sehari.

Ada pelbagai sudut pandangan boleh diberikan mengenai langkah perbelanjaan berhemat itu.

Bagaimanapun, yang paling jelas ialah ia simbol pengorbanan para pegawai perkhidmatan awam di Malaysia pada saat-saat getir ketika kerajaan sedang berusaha mengurangkan defisit negara melalui rasionalisasi subsidi demi kebajikan rakyat dalam jangka masa panjang.

Pegawai dan kakitangan awam merupakan tulang belakang kepada kerajaan dan menjadi teras negara ini.

Banyak pihak dalam sektor awam mahu pengorbanan para pegawai awam tidak dilupakan oleh kerajaan dan dalam kes sesetengah langkah penjimatan, misalnya kelayakan tempat duduk penerbangan kelas ekonomi untuk perjalanan domestik pegawai JUSA C, mereka berharap idea itu hanyalah inisiatif sementara.

Apabila kerajaan kembali mempunyai kemampuan kewangan kelak, kelayakan untuk mereka yang menjadi sebahagian daripada terma-terma perkhidmatan sewajarnya dikembalikan.

Jumlah pekerja sektor awam di Malaysia seramai 1.4 juta orang sering dikritik sebagai terlalu besar untuk menyediakan perkhidmatan kepada 29 juta rakyat Malaysia. Itu adalah antara tuduhan tidak berasas yang dicetuskan oleh pembangkang yang bertujuan untuk meremeh-remehkan sumbangan pekerja sektor awam kepada negara.

Dalam perdebatan itu, isunya adalah bagaimana kita memberi definisi kepada sektor awam dan perbezaannya dengan definisi perkhidmatan awam di negara-negara lain.

Di United Kingdom, laporan Pejabat Perangkaan Nasional pada September 2013 menunjukkan di seluruh England, Wales, Scotland dan Ireland Utara, jumlah orang yang bekerja dalam sektor awam adalah sekitar 19.4 peratus daripada keseluruhan 29 juta pekerja di negara itu.

Dengan kadar peratusan itu, jumlah keseluruhan pekerja sektor awam di United Kingdom adalah seramai 5.7 juta orang dengan 1.6 juta bekerja dengan perkhidmatan kesihatan, 1.5 juta dalam bidang pendidikan dan 1.1 juta dalam pentadbiran am dan majlis-majlis tempatan.

Secara keseluruhannya terdapat 5.7 juta pekerja sektor awam di United Kingdom yang berkhidmat untuk 63 juta penduduk negara tersebut yang sistem pemerintahannya mempunyai pertalian dengan Malaysia. Di United Kingdom, terdapat seorang kakitangan sektor awam bagi 11 orang rakyat (1:11).

Dengan jumlah kakitangan awam hanya 1.4 juta, di Malaysia, nisbah pekerja sektor awam kepada penduduk ialah seorang kakitangan awam berkhidmat untuk 20 orang rakyat (1:20).

Di Greece, sebuah negara Eropah yang dilanda kemelut ekonomi, bankrap dan terpaksa diselamatkan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan pakej bernilai AS$328 bilion (RM1,098 bilion), ia asalnya mempunyai seramai 913,000 pekerja sektor awam yang menyediakan perkhidmatan untuk 11 juta penduduk iaitu nisbah 1 kakitangan awam untuk 12 orang rakyat (1:12).

Pada Disember tahun lalu, jumlah kakitangan awam di Greece dapat dikurangkan kepada 681,000 orang iaitu pengurangan sebanyak 25 peratus (232,000 orang) yang dibuat serentak dengan pemotongan gaji untuk melunaskan komitmen Greece kepada IMF. Namun, nisbah pekerja sektor awam kepada penduduk negara itu masih sekitar 1:16.

Sekiranya dibandingkan dengan Malaysia yang mempunyai nisbah kakitangan awam dan penduduk 1:20, kakitangan awam di Malaysia sebenarnya lebih efisien dan mempunyai pelanggan yang jauh lebih ramai daripada rakan-rakan sejawatan mereka di United Kingdom, dan tidak sebanding langsung dengan Greece yang telah bankrap.

Memandangkan nisbah itu besar, tidak hairanlah kini ada pegawai awam di Malaysia terpaksa bekerja sehingga 10 jam sehari, yang diburukkan pula oleh perkembangan teknologi maklumat yang menuntut mereka memantau aduan rakyat melalui Facebook, Twitter, blog dan pelbagai lagi medium media baharu.
Bagaimanapun, kerana politik Malaysia akarnya telah diserabuti unsur-unsur perkauman, ada ahli politik pembangkang berketurunan Cina membuat dakwaan bahawa saiz perkhidmatan awam Malaysia terlalu besar dan perlu dikurangkan.

Berhati-hatilah apabila mendengar kritikan seumpama itu kerana ada waktunya kecaman dibuat dengan tujuan untuk melemahkan pentadbiran kerajaan. Apabila pentadbiran gagal ekoran kakitangan tidak cukup, ia boleh membangkitkan kemarahan rakyat dan menumbangkan kerajaan.

Kita wajar bertanya, mengapakah negara seperti United Kindom memerlukan saiz sektor awam yang terlalu besar sehingga 5.7 juta orang? Tentulah ada alasan-alasan ekonomi.

Dalam mana-mana sistem ekonomi, melainkan jika anda menjadi rakyat sebuah pulau kecil, kerajaan mempunyai peranan yang penting dalam memastikan guna tenaga mencapai tahap maksimum dan optimum, dan jika kerajaan berkemampuan untuk membayar gaji, tidak ada salahnya untuk mencontohi corak guna tenaga negara kapitalis seperti United Kingdom.

Banyak orang tidak sedar bahawa di Malaysia kakitangan dan pegawai kerajaan di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja sahaja mengutip cukai untuk negara sebanyak RM32 bilion setahun, dan perolehan itu kemudiannya digunakan untuk menguruskan dan membangunkan negara ini.

Kutipan itu dibuat oleh 13,000 kakitangan dan pegawai awam yang berkhidmat dengan Jabatan Kastam. Apakah yang akan berlaku jika kakitangan jabatan itu dikurangkan?

Malaysia menjadi sebuah negara yang hebat kerana para pegawai awamnya, bersama para pemimpin politik, sejak dari mula negara ini merdeka sehingga sekarang telah mewujudkan sebuah sistem pentadbiran yang kompetitif, mentadbir negara dengan perancangan tersusun, mengaktifkan pelan pembangunan lima tahun, kajian separuh penggal pembangunan dan sentiasa menampilkan pelbagai gagasan lain.

Dalam proses bernegara, kita telah berada pada landasan yang kukuh. Dasar-dasar yang prorakyat diperkenalkan oleh pemimpin politik dan pelaksanaannya dilakukan dengan baik oleh kakitangan dan pegawai perkhidmatan awam dalam tempoh enam dekad lalu. Gandingan mantap, sifat bahu-membahu dan saling memahami antara pemimpin politik dan para pegawai awam mesti kita teruskan kerana hubungan itu merupakan jantung kemakmuran Malaysia.

Perasaan terluka dan keliru ekoran langkah kawalan perbelanjaan yang diperkenalkan mulai 1 Januari lalu perlu diubati segera, dan ia sepatutnya menjadi ikhtiar sementara yang wajib difahami oleh pemimpin politik dan kakitangan perkhidmatan awam.

Janganlah kita membiarkan diri kita terperangkap dalam tohmahan kononnya wujud banyak sangat perkara negatif dan berleluasanya salah laku pegawai awam. Di tanah air kita, pada umumnya gejala itu adalah terkawal.

Malah, di Singapura yang diagung-agungkan oleh para pemimpin pembangkang Cina Malaysia, pada tahun lalu beberapa pegawai awam Cina Singapura terlibat dalam skandal seks dan penyelewengan pentadbiran sebagai imbuhan kepada peranan mereka dalam pemberian kontrak.

Kes-kes di Singapura itu menunjukkan di mana-mana negara sekalipun tiada gading yang tidak retak.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: