Friday, February 28, 2014

SPRM buka 18 siasatan penjawat awam

PUTRAJAYA 28 Feb. - Sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penjawat awam berdasarkan teguran yang dibuat di dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 sehingga 21 Februari lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, kesemua siasatan terhadap 18 kes berkenaan selesai dan setiap kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, daripada 18 kes tersebut ada di antaranya yang dicadangkan oleh SPRM kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh di mahkamah namun begitu terdapat juga disyorkan untuk tindakan tatatertib.

"Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 terdapat 378 teguran melibatkan 111 teguran bagi perkhidmatan awam persekutuan, 38 teguran bagi badan berkanun dan 229 teguran bagi negeri.
"Sebanyak 267 teguran audit melibatkan penambahbaikan peraturan, prosedur dan proses kerja, 
kesemua teguran itu telah dan sedang diambil tindakan oleh agensi yang terlibat, manakala 111 teguran lagi melibatkan kes penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Ali berkata, sebagai langkah jangka panjang, SPRM bukan sahaja memfokuskan kepada tindakan punitif (menghukum) melalui penyiasatan tetapi turut melihat aspek penambahbaikan terhadap amalan, sistem dan prosedur melalui khidmat pemeriksaan dan perundangan.
"Hal demikian adalah untuk memastikan kelemahan-kelemahan yang boleh membuka ruang dan peluang perlakuan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa diperbaiki.

"Setakat ini 21 khidmat nasihat pemeriksaan dan perundingan telah dijalankan bersama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan," katanya.

Selain itu, katanya, sehingga 21 Februari juga, terdapat 24 kes melibatkan 140 pegawai telah memulakan prosiding tatatertib dan surcaj.

"Daripada jumlah tersebut 99 pegawai akan melalui prosiding di bawah tatatertib, 12 pegawai dikenakan prosiding tatatertib dan surcaj dan 29 pegawai dimulakan prosiding di bawah surcaj," katanya.
Katanya, salah laku 140 pegawai tersebut melibatkan 64 pegawai polis, 41 pegawai Kementerian Pendidikan, 19 pegawai Kementerian Kesihatan, enam pegawai pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, tiga pegawai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dua pegawai Kementerian Belia dan Sukan dan masing-masing seorang pegawai daripada Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Perpaduan Negara.
Daripada jumlah tersebut, jelasnya, nasib 20 pegawai telah diputuskan oleh lembaga tatatertib yang berkenaan dan 18 daripadanya didapati bersalah manakala dua pegawai dibebaskan.

"Sebanyak 16 daripada pegawai yang bersalah telah dikenakan hukuman amaran yang membawa implikasi kepada penangguhan kenaikan pangkat selama 12 bulan.

"Dua lagi pegawai yang didapati bersalah masing-masing dikenakan hukuman denda pemotongan maksimum tujuh hari emolumen dan penangguhan kenaikan pangkat selama 18 bulan dan hukuman tangguh pergerakan gaji serta penangguhan kenaikan pangkat selama 30 bulan," katanya.

Menurut beliau, bakinya yang lain iaitu 23 pegawai masih di peringkat laporan ketua jabatan, 26 pegawai dalam penentuan kes oleh pengerusi, 42 pegawai telah pun dikemukakan surat pertuduhan serta 41 pegawai dikenakan surcaj.

Utusan Malaysia Online

No comments: