Wednesday, February 5, 2014

Menu Tengahari RM5 di Putrajaya

Aseh Che Mat (dua dari kanan) bersama Omar Osman (kanan) dan Hattan (dua dari kiri) serta kakitangan Perbadanan Putrajaya menunjukkan menu makanan tengah hari serendah RM5 di Restoran Rakyat 1Malaysia, Seri Empangan, Presint 5, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 4 Feb. - Warga Putrajaya kini boleh menikmati menu makan tengah hari pada harga RM5 termasuk minuman di Restoran Rakyat 1Malaysia yang mula beroperasi di Seri Empangan di sini hari ini. Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Dr. Aseh Che Mat berkata, hidangan menu terdiri daripada dua jenis lauk itu bagi membantu mengurangkan beban penjawat awam yang berkhidmat di sekitar Putrajaya.

Menurutnya, inisiatif mewujudkan restoran itu timbul selepas beliau berbincang dengan pemilik Restoran Putrajaya Ikan Bakar supaya menyediakan hidangan menu 1Malaysia pada waktu tengah hari. "Kapasiti pelanggan bergantung kepada permintaan, namun, pada hari ini pihak restoran menyediakan jumlah makanan untuk sebanyak 2,500 orang."Selain harga berpatutan yang ditawarkan, PPj akan sentiasa memastikan kualiti makanan bermutu tinggi setanding restoran lain agar para pelanggan berpuas hati dengan menu dihidangkan," katanya ketika ditemui dalam majlis pengenalan makan tengah hari di Restoran Rakyat 1Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Kanan PPj, Datuk Muhamad Haitamin Ishak, bekas Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman dan penyanyi, Datuk Hattan.Restoran Rakyat 1Malaysia terletak di lokasi yang sama di Restoran Putrajaya Ikan Bakar itu menawarkan menu istimewa tersebut setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad.Aseh berkata, PPj turut menyediakan khidmat bas Nadi Putrajaya setiap 15 minit bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang untuk kemudahan orang ramai ke restoran tersebut.Beliau berkata, pihaknya berhasrat memperluaskan menu 1Malaysia khusus untuk sarapan pada masa akan datang selepas melihat sambutan pelaksanaannya untuk menu makan tengah hari.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan permohonan untuk membuka premis perniagaan sama seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Putrajaya dan PPj bersedia memberi sebarang bantuan untuk tujuan tersebut."Kewujudan kedai rakyat seperti ini akan memberi pelbagai faedah kepada rakyat dengan penawaran harga berpatutan sekali gus meringankan perbelanjaan mereka," katanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: