Friday, February 28, 2014

PENJAWAT AWAM PERLU JADI PEMACU PERUBAHAN - KP PERKHIDMATAN AWAM

SUNGAI PETANI, 27 Feb (Bernama) -- Penjawat awam di negara ini perlu memainkan peranan sebagai pemacu perubahan atau 'change agent' dalam usaha menjayakan agenda transformasi negara.
 
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata sektor perkhidmatan awam Malaysia tidak terkecuali daripada arus transformasi malah 1.4 juta penjawat awam yang ada merupakan nadi penggerak dan tiang seri pembinaan negara bangsa.
 

Beliau berkata mereka akan membawa obor transformasi bagi meneraju dan merealitikan iltizam itu.
 
"Dalam konteks Merakyatkan Perkhidmatan Awam, penjawat awam perlu menjadi 'thinkers', 'planners' dan 'implementers' menerusi enam prinsip utama iaitu keterbukaan, turun padang, musyawarah, insaniah, kekitaan dan kerjasama awam-swasta-NGO (badan bukan kerajaan).
 

"Prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam ini hendaklah sentiasa didakap erat dan dipugar sepanjang masa menerusi tindakan kita dalam pelaksanaan tugasan seharian," ucapnya dalam Perasmian Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Leadership Development Park (iLead-Park), di Intan Kampus Wilayah Utara, di sini Khamis.
 

Sementara itu, Mohamad Zabidi berharap iLead-Park dapat dimanfaatkan secara bersama oleh semua pihak dalam menjadikan Intan sebagai pusat kecemerlangan.
 

"Peranan iLead-Park perlu diperluas bagi melahirkan penjawat awam yang berilmu, berkemahiran, berhemah tinggi, beradab, berbudaya dan responsif, bukan sahaja dalam kalangan agensi tertentu bahkan mesti diperluas kepada agensi lain secara kreatif dan inovatif.
 

"Selaras dengan aspirasi memacu transformasi melalui pembelajaran, saya yakin pembinaan iLead-Park ini merupakan satu pendekatan baharu dalam mengenal pasti dan membangunkan kompetensi kepimpinan pasukan dari segi pengetahuan, kemahiran dan sikap," katanya.
 

Beliau berkata ia seterusnya melahirkan generasi baharu perkhidmatan awam yang bukan sahaja bertindak sebagai ketua yang hebat bahkan berupaya menjadi pemimpin kepada pasukan transformatif.
 

BERNAMA Online

No comments: