Thursday, May 1, 2014

CABARAN PEKERJA WANITA

Cabaran pekerja wanita

Menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, keperluan untuk bekerja tidak lagi terletak khusus di bahu lelaki atau suami, tetapi turut memaksa wanita atau yang bergelar isteri, turut bekerja.

Hakikat sumbangan wanita dalam sektor pekerjaan tidak boleh dinafikan kerana mereka mempunyai peranan sama hebat dengan lelaki.

Bezanya, bagi wanita berkerjaya tugas dan tanggungjawab mereka perlu mengimbangi antara tempat dengan rumah.


Jika dulu boleh si ibu menumpu sepenuh perhatian kepada anak-anak sambil menguruskan lambakan kerja-kerja rumah tangga termasuk melayan suami saat pulang bekerja, namun kini senario berbeza.

Kebanyakan ibu bekerja di kota besar memperuntukkan lapan jam dari pagi sampai petang dan ketika pulang terpaksa mengharungi kesesakan.

Bagi yang tiada amah, sebelum tiba di rumah perlu menjemput anak di pusat asuhan dan pulang dengan bebanan tugas seperti memasak dan mengemas untuk mereka yang tidak suka makan di luar.

Berterusan hari demi hari sehinggalah bertukar bulan dan tahun keadaan sama dihadapi membuatkan wanita tertekan serta prestasi di pejabat mungkin terjejas.
Dilema di sektor awam

Apakah dilema dihadapi oleh ibu yang bekerja di sektor awam, mengulas mengenainya, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda, berkata pembabitan wanita dalam sektor pekerjaan amat bermakna kerana mereka membantu terhadap kemajuan ekonomi negara.

Justeru, kerajaan sentiasa proaktif menyediakan pelbagai kemudahan untuk pekerja wanita termasuk waktu kerja anjal, menyediakan pusat asuhan kanak-kanak (TASKA) di tempat kerja dan cuti bersalin 90 hari bagi kakitangan awam.

Walaupun 60 peratus sektor awam kini dikuasai wanita, tidak semua agensi mahupun jabatan kerajaan memenuhi kriteria berkenaan menyebabkan golongan itu terus berdepan dilema.

Dalam hal lain, disebabkan sebahagian besar wanita yang bekerja pada hari ini mempunyai suami yang turut bekerja.

Akibatnya, anak dihantar ke TASKA, dijaga ibu bapa atau pembantu rumah menyebabkan kurang masa meluangkan masa bersama mereka.

“Proses membesarkan anak tidak lagi seperti dulu, masa dengan ibu bapa sekejap saja menyebabkan kasih sayang semakin berkurangan.

“Dari mula lahir dihantar ke TASKA dan TADIKA. Apabila memasuki Tingkatan Satu, sebilangannya tinggal di asrama, ke universiti dan seterusnya memasuki alam pekerjaan.

“Tentunya keadaan ini akan memberi kesan negatif kepada masa depan negara. Perkara ini tidak seharusnya dipandang remeh, sebaliknya langkah tertentu perlu dirangka bermula daripada sekarang,” katanya kepada FAMILI.

Sebagai permulaan, katanya, perlu wujud satu undang-undang bagi mewajibkan semua syarikat dan organisasi menyediakan TASKA di tempat kerja bagi menggalakkan hubungan kekeluargaan.

“Ini membolehkan ibu berkerjaya berjumpa anak pada bila-bila masa dalam bangunan sama dengan premis pejabat tanpa mengganggu waktu kerja, pasti mereka dapat bekerja dengan lebih berkesan, produktif dan kurang tekanan,” katanya.


Walaupun kerajaan mengambil beberapa pendekatan memanfaatkan ibu berkerjaya, lain pula senario dalam sektor swasta.

Matlamat kerajaan mahu mencapai sasaran 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan menjelang 2016, namun realitinya, tidak banyak syarikat swasta yang menyediakan keperluan asas untuk ibu berkerjaya, tiada pusat asuhan kanak-kanak di pejabat, tiada waktu anjal dan kemudahan bilik penyusuan.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Khalid Atan, berkata majikan negara ini mementingkan produktiviti daripada pekerja mereka dengan mengambil kira setiap minit dan sen dikira.

Seiring kemajuan negara, majikan sepatutnya perlu sedar wanita memainkan peranan lebih berat apabila perlu mengimbangkan tugas mereka di pejabat dan di rumah.

“Kita banyak menekankan tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan anak membesar dalam persekitaran yang positif dan penuh kasih sayang, perlunya meluangkan masa mendidik membentuk generasi berkualiti di masa depan, namun adakah budaya kerja banyak yang tidak menjurus kepada arah itu.

Berita Harian Online

No comments: