Wednesday, May 28, 2014

JPA Mahu Penjawat Awam Ubah Pendekatan Bekerja

KUALA TERENGGANU, 27 Mei (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mahu semua 1.5 juta penjawat awam mengubah pendekatan dan cara bekerja supaya selaras dengan transformasi sektor awam yang menjurus kepada merakyatkan perkhidmatan awam. 

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata selaras dengan transformasi itu, semua penjawat awam dituntut menjalankan tugas dalam satu pasukan dan mampu menyelesaikan sesuatu masalah yang berbangkit tanpa menghadapi banyak masalah birokrasi di pelbagai peringkat sektor awam.
 

Katanya rakyat yang menjadi pelanggan kepada sektor awam perlu mendapat perkhidmatan dan sistem penyampaian daripada kakitangan awam secara tepat dan cepat.
 

"Memang menjadi sasaran kita nak mengurangkan kerenah birokrasi di pelbagai peringkat perkhidmatan awam seperti yang dikehendaki dalam program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
 

"Sebab itu, kita kini ambil pendekatan nak merakyatkan perkhidmatan awam supaya penjawat awam di semua peringkat dapat turun ke akar umbi serta menjelaskan dasar kerajaan," katanya kepada pemberita sempena program bersama penjawat awam negeri anjuran Cuepacs di sini.
 

Mohamad Zabidi berkata pihaknya berharap pendekatan merakyatkan perkhidmatan awam juga dapat digerakkan secara bersama di semua peringkat termasuk pihak berkuasa tempatan, negeri dan Persekutuan.
 

Katanya pendekatan itu antara bertujuan mempermudah apa sahaja urusan antara penjawat awam dengan rakyat.
 

"Kita mahu rakyat mudah berurusan. Kalau kita tutup pintu, sukar berurusan, itu yang menimbulkan masalah.
 

"Sekarang kita kena ubah cara bekerja supaya rakyat mendapat layanan sewajarnya," katanya.
 
Mohamad Zabidi berkata penjawat awam juga digalakkan mengikuti apa sahaja kursus yang diadakan yang boleh meningkatkan kompetensi mereka bekerja.
 

Bernama Online

No comments: