JOHOR BAHRU 9 Mei - Penjawat awam di negeri ini diingatkan bahawa sesuatu program motivasi dan latihan boleh memberi kesan berpanjangan sekiranya galakan diberikan secara berterusan selain cetusan demi cetusan pada masa hadapan.
Pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah berkata, atas sebab itu beliau mencabar kesemua peserta yang mengikuti Transformasi Minda Penjawat Awam Negeri Johor agar melatih diri untuk melepasi tempoh 40 hari agar amalan dalam program tersebut dapat diterapkan.
Apa yang saya ajarkan melalui program ini adalah praktikal dan bukan sekadar teori, jadi insya-Allah ia kekal dalam ingatan dan dijadikan amalan berterusan.
Dengan transformasi minda kita harap penjawat awam mengubah cara berfikir dan melihat situasi di pejabat dalam perspektif yang berbeza. Sebelum tidur memaafkan orang lain dan bangun tidur dengan senyum adalah praktikal," katanya ketika ditemui selepas upacara penutup program di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir dalam program anjuran bersama kerajaan negeri dan Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Norizan Kulob dan Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Abdul 'Alim Abd Shukor.
Sementara itu Norizan yang berucap mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim berkata, penjawat awam negeri Johor bertuah kerana mendapat sentuhan tokoh motivasi terkenal dalam usaha menjana kehidupan dan kerjaya yang lebih baik.
Program ini bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk menerapkan nilai budaya cemerlang dalam menjalankan tugas serta kawalan akal dan emosi dalam tindakan untuk meningkatkan prestasi hidup peribadi, kerjaya dan keluarga," tegasnya.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment