Friday, May 2, 2014

CBP JAMIN MASA DEPAN NEGARA DENGAN HASIL YANG MANTAP - NAJIB


JITRA, 1 Mei (Bernama) -- Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) yang akan dilaksanakan mulai April tahun depan mampu menjamin masa depan negara dengan hasil yang lebih mantap, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Katanya walaupun ada pihak bercadang untuk membuat bantahan di Kuala Lumpur terhadap CBP tetapi hakikatnya apabila sistem cukai itu diperkenalkan, masa depan negara terjamin.
 

" Kalau kita fikir secara rasional.. Kita faham setiap dasar kerajaan bertujuan untuk kebaikan rakyat. Jangan tengok sehari dua. Hari ini tanam benih, esok nak buah," katanya ketika merasmikan Hari Pekerja Penjawat Awam Tahun 2014 di Dewan Wawasan di sini Khamis.
 

Najib meminta rakyat memahami nawaitu kerajaan dalam melakukan perubahan dan transformasi kerana kerajaan mempunyai rasional yang kukuh.
 

" Ini pengertian yang harus disedari..tak boleh hentikan perubahan.. Kena diteruskan..kalau tak berubah maka kita akan berdepan himpitan ekonomi dan membawa kesusahan dan derita pada rakyat. Kerajaan mahu lakukan perubahan dan transformasi walaupun dipandang sebagai sesuatu yang tak patut dan tak perlu dilakukan," katanya.
 

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sr Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda.
 

Tema tahun ini "Penjawat Awam Tiang Seri Negara".
 

Najib berkata kerajaan yang ada tidak menjanjikan sesuatu perkara yang tidak mungkin dapat ditunaikan dan bukan hanya untuk meraih sokongan atau populariti, tanpa memikirkan kemudaratan.
 

"Bila nak buat sesuatu kita timbang dengan teliti dan gunakan pertimbangan adil. Kalaulah Presiden Cuepacs hendak elaun diperbaiki, gaji ditambah maknanya kita perlu kepada hasil bertambah.. Dari mana nak mencari dananya kalau tak ada hasil kalau nak biaya pertimbangan ini?," katanya.
 

Katanya berdasarkan pertimbangan kerajaan, ia telah membawa kejayaan kepada negara walaupun dunia kini berhadapan krisis ekonomi.
 

Najib berkata peningkatan ekonomi Malaysia adalah sederhana tinggi iaitu 4.7 peratus pada 2013 dan tahun ini mungkin lebih tinggi sedikit berbanding tahun lepas.
 

Bernama Online

No comments: