Sunday, May 4, 2014

TIDAK KURANG PENJAWAT AWAM BUKTI KERAJAAN PRIHATIN - JAILANI JOHARI

HULU TERENGGANU, 4 Mei (Bernama) -- Kesediaan kerajaan untuk tidak mengurangkan bilangan penjawat awam, yang kini mencecah 1.5 juta orang, mencerminkan kecaknaan kerajaan terhadap kebajikan golongan itu, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata tidak seperti pembangkang yang berhasrat menguncupkan saiz perkhidmatan awam jika mereka memerintah negara, kerajaan Barisan Nasional tetap bersandar kepada penjawat awam sebagai tulang belakang bagi kemajuan negara.

"Atas pengiktirafan dan harapan inilah, sewajarnya penjawat awam mempertingkat usaha dan terus memberi perkhidmatan yang terbaik dalam tugas seharian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa Tempatan (Anulae) Pejabat Terengganu di sini, Ahad.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 di Jitra, Kedah pada Khamis lepas bahawa Kerajaan tidak bercadang mengurangkan bilangan penjawat awam di negara ini.

"Ketegasan Perdana Menteri dalam hal ini adalah berita baik buat semua penjawat awam di seluruh negara," kata Jailani.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda berkata status Malaysia sebagai sebuah negara membangun amat memerlukan penjawat awam dalam pelbagai bidang bagi memudahkan urusan rakyat.

"Nisbah penjawat awam dengan rakyat ketika ini ialah 1:20 sedangkan negara maju pula mempunyai nisbah 1:13. Ini menunjukkan negara masih memerlukan penjawat awam dalam usaha kita mencapai status negara maju.

"Di sesetengah kawasan, terutama di luar bandar, rakyat masih memerlukan perkhidmatan kerajaan dan lebih selesa serta percaya dengan penjawat awam," katanya.

Bernama Online

No comments: