Friday, May 23, 2014

PTD Perlu Duduk Semeja Tanpa Mengira Pangkat Untuk Selesai Isu - KPPA

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) hari ini disaran agar duduk semeja tanpa mengira pangkat untuk menyelesaikan sesuatu isu atau masalah berbanding amalan menunggu laporan daripada pihak bawahan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata dengan cara itu sesuatu masalah atau perkara lebih mudah dan pantas untuk diselesaikan dan dapat mengelakkan masalah birokrasi.

"Jika kita bergerak berperingkat-peringkat mungkin dalam masa tiga bulan pun tak dapat siap. Kita kena berubah. Jangan terlalu birokratik," katanya pada Sesi Interaksi PTD Muda Bersama KPPA di sini.

Mohamad Zabidi berkata ia sebahagian daripada transformasi budaya kerja yang perlu mereka lakukan bagi memudahkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Beliau berkata mereka juga perlu menyokong antara satu sama lain walau berada di kementerian atau agensi yang berbeza dan bekerja sebagai satu pasukan.

Budaya kerja secara silo juga tidak boleh lagi diamalkan pada zaman globalisasi masa kini yang penuh dengan persaingan, katanya.

Seramai 500 pegawai PTD, barisan exco Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) dan pengurusan tertinggi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghadiri sesi itu yang dianjurkan oleh PPTD dengan kerjasama JPA.

Julung kali diadakan, ia bertujuan berkongsi mengenai transformasi JPA yang sedang dilaksanakan serta impak transformasi berkenaan kepada penjawat awam khususnya PTD, serta memberi peluang kepada PTD memberi input kepada JPA dalam merealisasi transformasi negara.

Bernama Online

No comments: