Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana golongan penjawat awam merupakan agen transformasi paling hadapan antara rakyat dan kerajaan selain menjadi tulang belakang negara.

“Sesungguhnya, cabaran penjawat awam adalah amat besar dan sentiasa menjadi perhatian dan pengukuran rakyat dalam menentukan semua dasar kerajaan dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya dalam sambutan Hari Pekerja-Pekerja Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan sentiasa peka dan terus menjaga kepentingan penjawat awam meskipun dalam kea­daan ketidaktentuan ekonomi.

“Penjawat awam seharusnya bersyukur kerana dalam keadaan ekonomi kini, kerajaan masih meneruskan semua kemudahan saraan penjawat awam tanpa membuat potongan gaji walaupun satu sen,” tambahnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa peningkatan kebajikan serta kesejahteraan lebih 1.6 juta penjawat awam akan terus menjadi keutamaan dalam bergerak ke hadapan.

Sejajar dengan itu, Najib yang juga Menteri Kewangan membe­ritahu, kerajaan banyak menyentuh mengenai kepentingan penjawat awam dalam bajet 2016 ini termasuk memberi bantuan khas RM500, pergerakan gaji minimum bersama satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred bermula Julai ini, gaji minimum sektor awam RM1,200, pencen minimum RM950 dan menaikkan kadar pelepasan cukai individu.

Selain itu beliau memberitahu, bagi memastikan penjawat awam mampu memiliki rumah idaman, kerajaan juga memperuntukkan RM1.6 bilion bagi Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) membina 175,000 unit rumah yang dijual 20 peratus rendah daripada harga pasaran.

“Pada masa yang sama, kerajaan turut menyediakan peruntukkan RM200 juta untuk Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) untuk membina 20,000 rumah mesra rakyat dengan kadar subsidi RM20,000 seunit dan RM200 juta peruntukkan bagi skim pembiayaan deposit rumah pertama,” jelas beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memberi peruntukkan RM863 juta bagi membina 22,300 unit pangsapuri dan 9,800 buah rumah teres menerusi program perumahan rakyat.

Utusan Malaysia Online