Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kenaikan itu dilaksanakan mengikut rasionalisasi di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM), selaras dengan usaha transformasi Perkhidmatan Awam yang diumum­kan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2016.

“Bagi anggota lain-lain pangkat ATM dan Perajurit Muda yang te­lah menamatkan latihan asas akan menikmati gaji permulaan Prebet sebanyak RM1,564 berbanding RM1,137 sebulan.

“Pegawai ATM pula, gaji Pegawai Kadet berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Vokasional Malay­sia bermula RM1,500 berbanding RM1,104 sebulan,” katanya selepas menyerahkan kunci Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Sekolah Mene­ngah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn, Setiawangsa di sini, hari ini.

Menurut Hishammuddin, pegawai berpangkat Leftenan Muda dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda (pelbagai jurusan) dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang yang telah ditauliahkan bakal mempe­roleh gaji RM2,585 dan RM2,730.61, berbanding RM2,411.85 sebulan.

Katanya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan pula bakal memperoleh gaji baharu RM2,876.67 berbanding RM2,703.37 seterusnya pemegang Ijazah Sarjana Muda Per­ubatan Veterinar pula menikmati gaji RM3,022.13 berbanding RM2,593.94 sebulan.

“Bagi penjawat awam di bawah Kementerian Pertahanan pula, kerajaan bersetuju menetapkan gaji permulaan terendah baharu sebanyak RM1,200 berbanding RM802 melibatkan 11,813 kakitangan.

“Penetapan gaji terendah baharu ini akan memberi kesan langsung terhadap penambahbaikan Jadual Gaji Minimum - Maksimum melibatkan kenaikan gaji tahunan antara 10 hingga 41 peratus,” katanya.

Mengenai RKAT, Hishammuddin berkata, sebanyak dua blok perumah­an melibatkan 160 unit kediaman telah disediakan bagi mene­mpatkan anggota lain-lain pangkat ATM termasuk ahli keluarga mereka di Desa Tun Hussein Onn.

Katanya, pembinaan perumahan yang menelan kos RM11.2 juta itu disediakan selepas beliau meng­adakan lawatan mengejut di lokasi yang sama pada 2 Februari lalu.

Utusan Malaysia Online