WAKTU rehat penjawat awam perlu dipendekkan kepada setengah jam sahaja sepanjang Ramadan bagi membolehkan pejabat kerajaan ditutup lebih awal. GAMBAR HIASAN/UTUSAN
SAUDARA PENGARANG,
Seluruh umat Islam akan menyambut Ramadan pada bulan hadapan.
Sebahagian besar daripada kita akan tetap mencari rezeki seperti biasa di bulan itu
tidak kira sama ada bekerja sendiri mahupun berpendapatan tetap.
Tidak terkecuali juga penjawat awam akan hadir bertugas berdasarkan waktu anjal secara berperingkat iaitu tiga peringkat. Secara keseluruhannya pejabat-pejabat kerajaan akan dibuka bermula 7.30 pagi hingga 5.30 petang.
Di sini saya ingin menarik perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar dapat melakukan sedikit perubahan waktu bekerja terutamanya bagi kakitangan kerajaan.
Dicadangkan agar waktu rehat bagi penjawat awam dipendekkan kepada setengah jam daripada waktu biasa sepanjang Ramadan bagi membolehkan pejabat kerajaan ditutup lebih awal iaitu pada pukul 5 petang.
Waktu rehat sedia ada bermula pada pukul 1 hingga 2 petang (Isnin-Khamis) manakala 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang (Jumaat).
Saya mencadangkan agar waktu rehat Isnin-Khamis dipendekkan dari pukul 1 hingga 1.30 petang sahaja. Manakala pada hari Jumaat pula dipendekkan kepada pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang.
Langkah ini akan membolehkan pejabat-pejabat kerajaan dibuka bermula pukul 7.30 pagi hingga 5 petang sepanjang Ramadan.
Keadaan ini akan memudahkan penjawat awam memberi tumpuan lebih kepada persediaan bagi berbuka puasa bersama keluarga, mempersiapkan diri untuk menunaikan solat tarawih dan ibadah-ibadah yang lain.
Saranan ini selari dengan gesaan beberapa pemimpin kerajaan sebelum ini agar kita lebih memberi tumpuan kepada persiapan untuk menyambut Ramadan yang penuh keberkatan yang Allah SWT telah menjanjikan pahala yang lebih banyak.
RED ANTZ
Gombak, Selangor
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment