KUALA LUMPUR 30 April - Isu pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam di negara ini masih lagi menjadi isu utama apabila 60 peratus daripada mereka terutama pendapatan bawah RM3,000 sebulan dan telah bertugas lebih dari 40 tahun masih tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, adalah menjadi harapan pihaknya sempena sambutan Hari Pekerja tahun ini agar kerajaan segera menggubal Dasar Perumahan Negara untuk menurunkan harga rumah berbanding menyediakan pelbagai projek perumahan bagi memenuhi permintaan.
“Jika ada banyak rumah dibina tetapi harga masih terlalu tinggi, tidak sahaja kepada golongan penjawat awam, malah sektor swasta dan golongan muda masing-masing menghadapi sindrom ‘rumah mampu milik tetapi hanya mampu lihat’.
“Saya juga berharap dengan Gabenor Bank Negara yang baharu, Datuk Muhammad Ibrahim dapat menyemak semula dasar skim pinjaman perumahan kepada bakal pembeli rumah di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Seminar Perdana Perkhidmatan Awam Sempena Hari Pekerja 2016 anjuran CUEPACS yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib yang mewakili Menterinya, Datuk Seri Richard Riot Jaem di sini hari ini.
Azih berkata, hasil lawatan kerja CUEPACS ke seluruh negara mendapati kebanyakan penjawat awam mengadu mengenai harga rumah yang disifatkan masih terlalu mahal.
“Tidak sahaja di Kuala Lumpur atau Lembah Klang tetapi di kawasan pedalaman dan bandar-bandar kecil seluruh negara termasuk Sabah Sarawak, harga rumah naik dengan begitu mendadak.
“Di Bintulu, Sarawak misalnya, tidak sahaja harga rumahnya tinggi malah untuk menyewa juga tidak mampu kerana naik sehingga RM1,500 sebulan.
“Tinggi harapan kami sempena Hari Pekerja esok, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil perhatian berat terhadap perkara ini demi kesejahteraan warga penjawat awam,’’ katanya.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ismail berkata, jumlah mereka yang menganggur di negara ini adalah seramai 400,000 orang terutama dalam kalangan lepasan ijazah.
“Seramai 1.6 juta bekerja dalam sektor awam, enam juta dalam sektor swasta dengan keseluruhan tenaga pekerja seramai 13.9 juta orang dengan dua juta dari mereka adalah pekerja asing, termasuk 100,000 orang adalah dalam kalangan ekspatriat,” katanya.
Menurutnya, jumlah pengangguran tersebut melibatkan siswazah mencari pekerjaan, mereka yang berhenti dalam usaha mencari pekerjaan lebih tetap dan hanya sebilangan kecil sahaja memilih untuk tidak bekerja.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment