KUALA LUMPUR 2 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak segera melakukan siasatan terhadap dakwaan kewujudan ‘Napoleon Kecil’ dalam Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang sering membuat keputusan berpihak kepada pemain-pemain besar atau dianggap juga sebagai kartel.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, isu Napoleon Kecil dalam JPV bukanlah baharu, sebaliknya telah beberapa kali dibangkitkan sebelum ini oleh banyak pihak.
Bagaimanapun, Azwanddin menzahirkan rasa kesal apabila tiada tindakan atau siasatan yang dilakukan oleh pihak-pihak bertanggungjawab terhadap dakwaan berkenaan.
“Ini bukan lagi surat layang, tetapi ‘maklumat’ yang telah dibangkitkan oleh beberapa pihak. Sewajarnya SPRM melakukan siasatan secara proaktif terhadap dakwaan yang ditimbulkan.
“Perkara sudah lama, tetapi saya hairan kerana isu ini seolah-olah cuba ditutup dan disembunyikan. Mengapa? Saya tidak tahu. SPRM kena segera lakukan siasatan terhadap apa yang berlaku dalam JPV,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik semalam sekali lagi membangkitkan soal Napoleon Kecil dalam JPV yang sering membuat keputusan memihak kepada pemain-pemain besar yang dianggap kartel.
Isu Napolean Kecil dalam JPV ini pernah dibangkitkan oleh Awang pada tahun lalu, sehingga turut dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat pada November lalu dan menarik perhatian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melakukan siasatan.
Presiden Gabungan NGO 1Malaysia (NGO1M), Mohammad Nazlee Aziz Yeop juga senada dengan Azwanddin apabila mendesak SPRM melakukan siasatan segera.
Mohammad Nazlee turut mengingatkan SPRM supaya tidak terlepas pandang terhadap sebarang dakwaan yang dibuat mengenai agensi ataupun jabatan.
“Tidak kiralah agensi atau jabatan kecil, sekiranya ada dakwaan yang mencurigakan, SPRM perlu siasat. Jangan hanya menumpukan kepada agensi serta jabatan besar sahaja, yang kecil juga perlu diberikan perhatian.
“Kalau sudah bertubi-tubi laporan diterima daripada orang awam, mesti ada sesuatu yang tidak kena dalam JPV itu. Jadi, SPRM perlu segerakan proses siasatan, jangan terlepas pandang perkara-perkara seperti ini,” jelas beliau.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment