JPV telah membuat maklum balas persoalan (sama) yang dibangkitkan oleh Awang Selamat pada 15 November yang lalu. Jawapan tersebut telah keluar di Utusan Malaysia bertarikh 16 November 2015.

Oleh kerana pihak Awang Selamat bukanlah mementingkan jawapan dan penjelasan, beliau gagal membaca ulasan JPV yang terdahulu.

Untuk makluman, JPV mempraktikkan dasar terbuka, iaitu sesiapa sahaja boleh memohon membawa masuk ternakan hidup dan juga daging (daging kerbau sejuk beku, daging lembu dan kambing serta keratan ayam).

Bagi ternakan hidup, negara-negara yang dibenarkan hendaklah dari negara yang mempunyai status sanitasi dan phitosanitari yang baik dan negara tersebut telah melepasi analisis risiko yang dijalankan oleh JPV.

Untuk pembekalan ternakan hidup bagi 2016, pengimport yang telah diluluskan dan bilangan haiwan import dinyatakan seperti di dalam jadual yang disertakan.

Walaupun kelulusan telah dikeluarkan, permohonan baharu masih boleh dikemukakan.

Bagi hasilan daging, hendaklah datang dari establishment yang telah diluluskan dan telah memenuhi piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) Malaysia serta piawaian halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Senarai pengimport yang telah diberikan kelulusan mengimport daging kerbau beku India, daging lembu dan kambing serta keratan ayam juga telah dikeluarkan oleh JPV.

Menjadi tanggungjawab JPV untuk memastikan semua ternakan hidup dan daging yang akan dibawa masuk ke Malaysia adalah bebas risiko membawa penyakit yang boleh memudaratkan sektor ternakan negara dan kesihatan awam serta penyakit zoonotik.

Bagi daging pula, JPV bekerjasama dengan Jakim dan Kementerian Kesihatan untuk memastikan daging yang dibawa masuk selamat, menepati piawaian halal Jakim dan tidak mendatangkan risiko penyakit kepada sektor ternakan negara dan juga kepada penduduk.

Pihak JPV sentiasa sedia berbincang dengan mana-mana pihak termasuk pakar yang dirujuk oleh Awang Selamat.

Akhirnya, pihak JPV suka membuat penjelasan bahawa pihak jabatan bersungguh-sungguh memastikan bahawa ternakan hidup yang dibawa masuk ke negara ini tidak mengancam kesihatan ternakan dan penduduk di negara ini.

Secara kolaboratif bersama Jakim dan Kementerian Kesihatan, JPV juga bertekad untuk memastikan semua daging yang dibawa masuk ke negara ini tidak akan memberi ancaman penyakit kepada penduduk, sektor ternakan dan juga daging dibawa masuk adalah halal.

Semua maklumat berkenaan dengan jabatan, boleh dirujuk di laman web www.dvs.gov.my.

DATUK DR. KAMARUDIN MD. ISA
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar