Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, perkhidmatan peminjaman e-Buku merupakan satu inovasi kepada warga Petaling Jaya mendapatkan pelbagai maklumat di seluruh dunia melalui internet dengan cepat dan pantas.

Menurutnya, e-Buku memberi kemudahan kepada orang ramai terutama pelajar bagi mendapatkan pelbagai bahan bacaan antaranya buku-buku fiksyen, bukan fiksyen, pendidikan dan lain-lain.

“Pembaca juga mudah untuk meminjam buku secara atas talian tanpa perlu pergi ke perpustakaan ini.

“Bagi memudahkan sistem diakses di mana sahaja mereka berada dan tanpa mengira waktu, mereka perlu mendaftarkan diri sebagai ahli perpustakaan komuniti ini,” katanya selepas pelancaran perkhidmatan e-Buku di Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya, di sini.
Sistem e-Buku dijayakan dengan kerjasama Xentral Methods Sdn. Bhd. dan Tech Titan Sdn. Bhd.

Tambah Azizi, sistem e-Buku sangat praktikal dan memudahkan masyarakat di seluruh Petaling Jaya kerana telah membawa perpustakaan ke hujung jari pengguna.

“Sistem ini menyokong semua sistem operasi yang membolehkan e-Buku yang dipinjam dibaca menggunakan pelbagai jenis peranti pintar dan komputer.

“Hal ini adalah satu permulaan yang baik bagi meningkatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di bandaraya ini,” katanya.

Tambah beliau, sistem ini tidak menganggu fungsi perpustakaan yang sedia ada, sebaliknya tetap sebagai tempat untuk mengadakan perjumpaan serta perbincangan.

Utusan Malaysia Online