ISU kerugian lebih RM2.4 bilion berikutan penyeludupan wang di sempadan negara membuktikan wujud pelbagai kelemahan di peringkat agensi penguat kuasa yang perlu diperbaiki segera. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN
SEJAK kebelakangan ini, seorang demi seorang penjawat awam didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa. Pada masa sama media perlu terus mendedahkan pelbagai kelemahan di peringkat agensi penguat kuasa sehingga memungkinkan pelbagai penyelewengan dan ketirisan berlaku.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia mendedahkan bagaimana kerajaan kerugian lebih RM2.4 bilion berikutan penyeludupan wang di sempadan negara. Itulah belum lagi mengambil kira pelbagai ketirisan dan salah tadbir urus wang negara yang memungkinkan kerajaan kerugian berbilion ringgit setiap tahun.
Justeru dalam berhadapan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu adalah penting bagi semua pihak memastikan ketirisan dan penyelewengan di peringkat jabatan dan agensi kerajaan tidak berterusan.
Langkah kerajaan menukarkan hampir 70 pegawai yang memegang jawatan sensitif melebihi tiga hingga lima tahun seperti mana diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa pada 23 April lalu adalah langkah bijak dan harus dipuji.
Bagaimanapun usaha seumpama itu tidak perlu dihentikan di situ sahaja. Sebaiknya dari semasa ke semasa pertukaran pegawai bukan sekadar tertumpu kepada 70 pegawai tersebut sahaja.
Sebaliknya, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji secara keseluruhan penempatan pegawai dan anggota di sesuatu jabatan atau agensi yang dilihat boleh membuka ruang berlakunya penyelewengan, ketirisan dan amalan rasuah.
Pelbagai pendedahan oleh media khususnya melibatkan agensi penguat kuasa membuktikan ada sesuatu perlu dilaksanakan bagi membanteras sebarang amalan salah laku.
Kita tidak boleh selama-lamanya membiarkan pihak ketiga begitu mudah memecahkan integriti mana-mana juga agensi kerajaan termasuklah agensi penguat kuasa.
Sebab itulah perhatian serius perlu diberikan khususnya dari segi pemantauan ke atas jabatan dan agensi tertentu yang dilihat terdedah kepada penyelewengan, salah guna kuasa dan ketirisan.
“Ia perlu dilakukan secara berkala terutamanya melibatkan agensi yang dianggap boleh membuka ruang kepada pemberi dan penerima rasuah. Tumpuan bukan sekadar kepada pengurusan pertengahan dan sokongan tetapi juga atasan kerana banyak kes yang berlaku menunjukkan ia melibatkan golongan tersebut,’’ kata satu sumber kepada penulis.
Hakikatnya, rakyat sudah bosan apabila dari semasa ke semasa terus dipaparkan dengan berita berkaitan amalan rasuah melibatkan sesetengah pegawai dan kakitangan awam khususnya agensi penguat kuasa. Kalaulah yang diberikan amanah dan tanggungjawab bersedia menjadikan kedudukan serta jawatan mereka sebagai lubuk mengaut keuntungan, apa akan jadi kepada masa depan negara?
Sama ada suka atau tidak, kita perlu mengakui bahawa masih banyak terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dalam usaha kerajaan memperkukuhkan integriti dalam kalangan pegawai dan kakitangan awam.
Sesuatu ketirisan dan penyelewengan serta amalan rasuah tidak akan berlaku jika benar golongan tersebut mengamalkan integriti yang tinggi serta tidak mengkhianati amanah diberikan.
Tetapi malangnya, berdasarkan perbualan penulis dengan beberapa sumber dalam kerajaan, mereka melahirkan kebimbangan dengan trend amalan rasuah dalam agensi kerajaan.
“Bayangkanlah kalau berjuta-juta ringgit boleh diseludup ke negara jiran dengan begitu mudah, bagaimana pula dengan pengurusan perkara-perkara lain yang dianggap berada dalam kategori sensitif seperti pembelian peralatan untuk jabatan kerajaan dan pengeluaran permit? Apakah jaminan yang boleh diberikan bahawa di situ tidak berlaku sebarang ‘kebocoran’ dan ketirisan,’’ kata sumber itu lagi.
Mungkin benar hanya segelintir sahaja individu dalam perkhidmatan awam yang melakukan perbuatan menjamah wang haram dan mengkhianati amanah yang diberikan, tetapi ia perlu dibanteras habis-habisan supaya tidak menjadi ‘sakit barah’ yang tidak boleh diubati. Sebab itulah tidak boleh dibiarkan di mana-mana juga jabatan dan agensi kerajaan ada ruang berlakunya amalan rasuah dan penyelewengan.
Oleh itu adalah perlu kerajaan melaksanakan ‘operasi pembersihan’ dalam kalangan kakitangannya di semua peringkat termasuklah pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan mereka benar-benar bersih daripada amalan rasuah.
Antara pendekatan yang boleh dilakukan seperti mana kata satu sumber ialah tidak membenarkan mana-mana individu menjadi ‘taiko’ di sesebuah jabatan atau kawasan disebabkan terlalu lama bertugas di situ.
Selain itu, bagi memastikan tidak wujud sebarang persepsi atau tohmahan adalah wajar pemantauan terhadap cara hidup sesetengah penjawat awam dilakukan dari semasa ke semasa.
Sebenarnya banyak cerita yang penulis dengar berhubung perkara ini, ia termasuklah bagaimana sesetengah pegawai dan anggota agensi tersebut hidup dalam keadaan yang dianggap boleh mencetuskan keraguan kepada orang ramai.
Tidak mengapa kalau mempunyai sumber pendapatan lain yang membolehkan mereka menikmati hidup mewah, tetapi apa yang dibimbangkan ada unsur-unsur tidak sihat yang berlaku. Apapun integriti penjawat awam di semua peringkat perlu dipertahan dan diperkukuhkan bermula daripada ‘budak mencari fail’ hinggalah ketua jabatan.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment