DARI sudut kepenggunaan, 2009 barangkali adalah tahun yang paling banyak menyaksikan pembabitan orang ramai selaku pengguna dalam beberapa isu dan dasar kerajaan. Penyertaan orang ramai secara lebih terbuka dan telus itu sebenarnya selaras dengan pendekatan pemerintahan baru yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Antara komponen utama yang ditekankan oleh Najib ialah mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) seperti yang diumumkan pada Julai lalu.
Tumpuan NKRA itu adalah mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan. NKRA lain termasuk meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam.
Pertengahan Disember ini juga, beberapa inisiatif bagi mencapai matlamat NKRA itu diumumkan kepada orang ramai pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP). Program sehari itu membuka peluang kepada orang ramai untuk melihat dengan lebih dekat perincian program secara spesifik, agensi dan kumpulan sasaran, rangka masa pelaksanaan serta kos yang terlibat dalam NKRA itu.
Menerusi hari terbuka itu, orang ramai dapat menilai tindakan atau rancangan bagi melaksanakan setiap NKRA berkenaan dan mengemukakan cadangan untuk menambah baik perkara itu.
Pengumuman NKRA itu merupakan sebahagian daripada fasa pertama inisiatif Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu satu lagi pendekatan berani yang diperkenalkan Najib bagi membolehkan rakyat menilai prestasi kerajaan.
KPI itu turut merangkumi penilaian barisan menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan perkhidmatan awam yang akan diserahkan kepada Najib.
Tempoh 100 hari Najib sebagai Perdana Menteri pada 11 Julai lalu turut membawa bersama khabar gembira kepada orang ramai. Najib pada hari tersebut mengumumkan 11 insentif yang kebanyakannya memberi manfaat kepada rakyat dari sudut pengguna. Antaranya penawaran diskaun sehingga 20 peratus kepada pengguna kad prabayar Touch 'n Go dan SmartTag yang menggunakan tol lebuh raya 80 kali atau lebih dalam sebulan bermula 1 September 2009.
Penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) di Wilayah Persekutuan pula dibenarkan membeli rumah yang disewa pada harga RM35,000 dengan rebat RM2,500 untuk kerja pembaikan rumah. Insentif itu memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 45,000 orang penyewa sedia ada untuk memiliki rumah idaman masing-masing.
Penduduk di Wilayah Persekutuan khususnya peniaga kecil sekali lagi mendapat manfaat apabila diberikan potongan sehingga 50 peratus bagi memohon dan membaharui lesen perniagaan.
Najib turut mengumumkan tambahan kira-kira 3,000 lagi permit teksi individu selain mengurangkan kadar bayaran permohonan lesen motosikal kepada RM211 berkuat kuasa pada 1 September.
Peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta juga diberikan kepada TEKUN manakala RM15 juta lagi kepada program pembangunan usahawan muda kaum India.
Najib turut komited untuk mengurangkan kadar jenayah terutamanya ragut dan kecurian kenderaan. Dalam masa yang sama, usaha memastikan bilangan pendaftaran lewat kelahiran dapat dilaksanakan dengan segera.
Komitmen lain termasuk usaha menambah baik akses kepada kemudahan asas seperti pembinaan jalan dan penyaluran bekalan air serta elektrik di kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak ditingkatkan.
Najib turut mengumumkan peruntukan sehingga 10 billion unit saham di bawah Amanah Saham 1Malaysia yang dibuka kepada rakyat berumur 18 tahun.
Bagaimanapun di sebalik berita gembira itu, sektor kepenggunaan negara sepanjang tahun ini juga masih bergelut dengan isu basi dan lapuk. Krisis kekurangan gula yang berlaku pada Ogos lalu misalnya, adalah isu yang berulang sejak bertahun-tahun lamanya.
Percayalah, jika tiada tindakan serius daripada kementerian berwajib, kita akan berdepan dengan isu kekurangan gula ini sekali lagi pada 2010. Seperti tahun-tahun sebelumnya, krisis gula tahun ini juga berlaku ketika menjelang musim perayaan.
Di pihak pengguna, kumpulan peniaga, pemborong dan pembekal disalahkan kerana dikatakan cuba mengambil kesempatan daripada permintaan yang mendadak.
Di pihak mereka pula, pengguna yang menyebabkan bekalan gula berkurangan apabila membuat pembelian dalam jumlah yang besar kerana bimbang kehabisan bekalan.
Tidak cukup dengan itu, persatuan-persatuan pengguna pula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang didakwa turut menyumbang kepada krisis kekurangan gula. Pengumuman kebarangkalian harga bekalan itu dinaikkan selepas Tahun Baru Cina misalnya, mendorong pembelian panik di kalangan pengguna.
Kurangnya pemantauan dan penguatkuasaan oleh agensi berkaitan juga menjadi sasaran rasa tidak puas hati di kalangan pengguna dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Kemelut harga barang dan pemantauan yang tidak berkesudahan menyebabkan NGO tersebut mendesak kerajaan mengasingkan Hal Ehwal Pengguna daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Hal Ehwal Pengguna sebaliknya diminta diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memastikan hak-hak pengguna dilindungi sepenuhnya.
Seperti gula, harga ayam juga mengalami kejutan bermusim tahun ini apabila ia melonjak sekitar 40 hingga 60 sen sekilogram pada April lalu. Wabak pandemik influenza A dikatakan punca yang mendorong lonjakan permintaan ayam di pasaran secara mendadak.
Ironinya harga ayam itu meningkat selang seminggu selepas kerajaan mengumumkan harga bekalan itu diturunkan sebanyak 10 sekilogram.
Keadaan itu mendesak pelbagai pihak menyeru supaya kerajaan campur tangan dengan menentukan harga akhir bekalan itu bagi mengelak ia dimanipulasi oleh pembekal yang memonopoli pasaran itu.
Selain turun naik harga bekalan makanan, tambang baru bagi pengangkutan awam di seluruh negara yang diperkenalkan kerajaan turut memberi kesan kepada pengguna.
Kadar baru meliputi semua jenis kategori perkhidmatan iaitu bas ekspres, bas berhenti-henti, bas mini, bas pengantara, bas sekolah, teksi, teksi lapangan terbang dan kereta sewa itu berkuat kuasa 1 Ogos lalu.
Dengan kenaikan itu, kadar baru bagi tambang teksi di Lembah Klang, Johor Bahru, Kuala Terengganu dan Melaka dinaikkan dari RM2 untuk satu kilometer pertama kepada RM3. Kadar tambang bas ekspres untuk setiap kilometer pula dinaikkan dari 6.5 sen menjadi 8.05 sen setiap kilometer.
Kenaikan itu bagi kebanyakan pengguna dianggap membebankan jika diambil kira dari sudut perkhidmatan awam yang ditawarkan ketika ini.
Namun bagi kerajaan, kenaikan itu juga akan mendorong kepada transformasi perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik kerana sektor itu kini tidak lagi mempunyai alasan kerana menikmati kadar tambang baru.
Apa pun, kita juga patut mengucapkan terima kasih kepada Menteri dan warga kerja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kerana berusaha mengawal harga dan kadar inflasi sepanjang tahun 2009.
Indeks Harga Pengguna berada pada kedudukan stabil dan bekalan barang makanan juga mencukupi. Pertama kali dalam sejarah Hari Raya Aidilfitri tahun ini tidak timbul masalah kenaikan harga barang dan bekalan tidak mencukupi.
Semua ini adalah kesan daripada tindakan pantas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob yang rajin turun padang dan hands on dalam menyelesaikan isu-isu barangan keperluan rakyat.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment