Wednesday, September 5, 2012

Bukan Melayu semakin tunjuk minat jadi penjawat awam

MIRI: Kaum bukan Melayu semakin menunjukkan minat untuk berkhidmat dengan sektor awam dengan jumlah permohonan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menunjukkan peningkatan dalam tempoh Jun hingga Ogos tahun ini.

Pengerusi SPA, Tan Sri Mahmood Adam berkata, dalam tempoh itu permohonan calon bukan Melayu meningkat kepada 5.6 peratus berbanding hanya dua peratus setakat Mei tahun ini daripada 1.2 juta permohonan diterima melalui SPA. 
 
"Ini adalah hasil daripada kempen besar-besaran kita buat melalui media cetak Cina dan Tamil serta dialog yang diadakan di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Temuduga SPA Miri di sini hari ini.

Mahmood berkata, berlainan dengan situasi di Sarawak dan Sabah, jumlah permohonan bukan Melayu yang dikategorikan sebagai Bumiputera amat tinggi iaitu sebanyak 16 peratus dan menunjukkan peningkatan yang semakin positif selepas kempen yang sama dibuat.

Beliau berkata, SPA melakukan penambahbaikan untuk mengisi segera kekosongan jawatan dengan mengeluarkan surat tawaran sehari selepas sesi temuduga diadakan, dan calon yang gagal juga akan dimaklumkan melalui surat, dengan memberitahu sebab kegagalan mendapatkan jawatan yang dipohon.

"Kita buat sebelum puasa ini iaitu pada bulan Jun lalu untuk mengisi kekosongan jawatan jurutera dan dalam tempoh sehari kita maklumkan keputusan serta tawarkan kepada calon yang berjaya," katanya. Sebelum ini calon biasanya akan mengetahui keputusan dalam tempoh satu atau dua minggu.

Beliau berkata, kekosongan dalam sektor awam dijangka terhad dalam tempoh dua tahun ini berikutan keputusan kerajaan mewajibkan pencen pada umur 60 tahun.

"Kita jangka pada tahun ini dan tahun depan kekosongan dalam sektor awam masing-masing ialah 7,000 bagi mengisi kekosongan penjawat awam yang tidak memilih opsyen pencen pada 60 tahun," katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, SPA bakal menambah Pusat Temuduga SPA di Sarawak dengan cadangan untuk menambah dua pusat temuduga, di Bintulu dan Limbang, bagi membolehkan lebih ramai rakyat negeri ini menyertai sektor awam.

Beliau menafikan kerajaan mengamalkan diskriminasi kaum dalam mengambil penjawat awam di Sarawak dan Sabah.

BERNAMA

No comments: