Thursday, September 27, 2012

Kerajaan tak akan patah balik

Najib melihat pameran selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2012 di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Effendy Rashid. Untuk lebih gambar dan berita dapatkan BH hari ini atau layari BH Digital di http://subscription.nstp.com.my/


Najib melihat pameran selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2012 di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Effendy Rashid. Untuk lebih gambar dan berita dapatkan BH hari ini atau layari BH Digital di http://subscription.nstp.com.my/Transformasi sistem perundangan negara: PM jamin usaha jadikan sistem lebih progresif akan diteruskan
Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berjanji kerajaan tidak akan berpatah balik selepas melakukan pelbagai transformasi dalam sistem perundangan negara.
 
Sebaliknya, Perdana Menteri memberi jaminan usaha sejak tahun lalu ke arah sistem yang lebih progresif akan diteruskan walaupun perjalanan ke arah pembaharuan masih jauh.
 
“Tembok lebih mudah diruntuhkan daripada asas yang dibangunkan. "Usaha bersungguh-sungguh dan teliti untuk membina asas yang kukuh, teguh serta padu yang akan berupaya menghadapi ujian masa, mengambil masa." - Datuk Seri Najib Razak.
 
Namun, Najib menyedari ada pengamal undang-undang, terutama mereka dalam komuniti hak asasi manusia tetap memilih untuk ‘melihat gelas itu sebagai separuh kosong daripada separuh penuh.’
 
Kepada mereka, beliau berkata: “Tembok lebih mudah diruntuhkan daripada asas yang dibangunkan. Usaha bersungguh-sungguh dan teliti untuk membina asas yang kukuh, teguh serta padu yang akan berupaya menghadapi ujian masa, mengambil masa.
 
Kejayaan tidak dikecapi dalam sehari
 
“Seperti Rome tidak dibangunkan dalam sehari, pembinaan Malaysia yang adil, saksama dan demokratik tidak boleh dicapai dalam masa semalaman. Seperti pepatah purba Cina menyebut, suatu perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama. 
 
“Kita sudah memulakan bukan saja langkah pertama tetapi banyak. Perjalanan itu adalah jauh dan akan diteruskan, namun pembaharuan tidak akan berpatah balik... itu janji saya.”
 
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2012, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.
 
Hadir sama Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Presiden Badan Peguam Malaysia, Lim Chee Wee.
 
Dengar kritikan membina
 
Kerajaan menunaikan janji untuk melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam perundangan negara, antaranya membatalkan tiga Proklamasi Darurat yang membawa kepada pemansuhan Ordinan Darurat, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1971, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 serta meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis dan memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman 2011.
 
Katanya, kerajaan yang mendengar kritikan membina rakyat, kemudian mengumumkan hasrat memansuhkan Akta Hasutan 1948, di samping melancarkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagi memastikan semua tahanan mendapat akses kepada keadilan.
 
Dalam pada itu, Najib berkata walaupun sesekali berlaku perbalahan atau pertelingkahan dalam politik dan profesion undang-undang, Badan Peguam Malaysia tetap rakan penting dalam kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan di negara ini.
 
“Apabila ia (peguam) bercakap, kita (kerajaan) mendengar. Kita mungkin tidak sentiasa bersetuju dengan pandangan Badan Peguam Malaysia atau sesetengah aktiviti mereka, tetapi kita mendengar apa yang mereka perkatakan dan memerhati apa dilakukan dengan penuh minat.
 
Najib petik ucapan Tun Razak
 
“Kita mungkin ada kala membuat lawak mengenai peguam, tetapi mereka bagaimanapun ada peranan unik dan penting di negara ini,” katanya yang memetik ucapan arwah ayahandanya, Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, mengenai profesion undang-undang dan peranan badan peguam ketika merasmikan Persidangan Undang-Undang Malaysia yang pertama pada 15 Julai 1971.
 
BERITA HARIAN ONLINE

No comments: