Saturday, September 15, 2012

Kualiti perkhidmatan awam di pedalaman Sarawak tidak diabaikan

KUCHING 14 Sept. - Kerajaan sentiasa memastikan kualiti perkhidmatan awam di pedalaman negeri ini setanding dengan yang ditawarkan di kawasan bandar.
 
Setiausaha Persekutuan negeri, Datuk Md. Yahaya Basimin berkata, faktor geografi bukanlah alasan untuk penjawat awam yang berkhidmat di kawasan pedalaman melaksanakan tugas sambil lewa.
 
Justeru, kata beliau, pihaknya merancang mengadakan lebih banyak program turun padang di kawasan berkenaan di samping memantau perkembangan projek-projek yang dilaksanakan.
 
"Setakat ini 150 agensi, jabatan dan badan berkanun ditempatkan di Sarawak dengan bilangan penjawat awam di seluruh negeri ini mencecah 100,000 orang.
 
"Dengan bilangan seramai ini, adalah sukar untuk kita memantau kesemuanya, namun itulah cabaran yang perlu kita hadapi bagi memastikan kualiti perkhidmatan awam dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa Bersama Penjawat Awam Persekutuan Sarawak di sini, semalam. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
 
Mengulas lanjut, Md. Yahaya mengalu-alukan pendekatan 'merakyatkan perkhidmatan awam' yang diperkenalkan kerana berpendapat konsep tersebut mampu merapatkan jurang antara penjawat awam dengan rakyat.

UTUSAN ONLINE

No comments: