Thursday, September 20, 2012

Najib ucap takziah kepada keluarga PTD mati lemas

ALOR SETAR 20 Sept. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Allahyarham Aldy Hasni Abu Hassan, 35, yang mati lemas semasa menjalani latihan di Kem Wataniah Force 136, Pekan, Pahang, Ahad lepas.
 
Ucapan takziah itu disampaikan menerusi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang melawat keluarga mangsa di kediaman mereka di Lorong Fajar, Jalan Sultanah di sini hari ini.
 
Ahmad Bashah berkata Perdana Menteri turut menyampaikan pesanan kepada keluarga dan isteri Allahyarham, Farah Fudhlana Zainuddin, 34, agar tabah menghadapi dugaan tersebut.
 
Katanya Perdana Menteri juga memberi jaminan sekiranya ada sebarang keperluan atau bantuan yang diperlukan oleh keluarga dan isteri Allahyarham, mereka boleh mendapatkan pertolongan daripada Umno Kedah dari semasa ke semasa.
 
Beliau berkata UMNO Kedah bersedia membantu keluarga dan isteri Allahyarham sekiranya mereka memerlukan apa-apa bantuan pada masa akan datang.
 
Ahmad Bashah yang mewakili Najib turut menghulurkan sumbangan daripada kerajaan persekutuan kepada isteri Allahyarham bagi meringankan beban yang dialami keluarga tersebut.
 
BERNAMA

No comments: