Thursday, September 27, 2012

Jumlah peruntukan Bajet 2013 mungkin meningkat 10-20 peratus

Jumlah peruntukan Bajet 2013 yang akan dibentangkan esok dijangka meningkat antara 10 peratus hingga 20 peratus atau sehingga RM300 bilion berbanding RM232.8 bilion dalam Bajet 2012. 
 
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Spire Research and Consulting, Leon Parera, berkata peningkatan peruntukan itu sebahagiannya adalah disebabkan perbelanjaan besar kerajaan dalam projek yang sedang dibangunkan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP). 
 
"Projek ETP dilihat sebagai usaha besar-besaran yang dilaksanakan kerajaan bagi mencapai Wawasan 2020 untuk muncul sebagai sebuah negara maju, kerana lebih 50 peratus daripada kos projek ditanggung kerajaan," katanya. 
 
Parera berkata, sukar bagi sektor swasta untuk mengambil bahagian yang besar dalam projek ETP, tetapi masih ada banyak syarikat domestik yang mempunyai kemahiran dan keupayaan untuk membiayai projek berkenaan.
 
Beliau berkata, walaupun kerajaan mungkin meningkatkan jumlah peruntukan bajetnya yang akan secara langsung meningkatkan defisit fiskal, ini adalah sebahagian daripada tindakan pengimbangan yang diambil bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan.
 
"Kami melihat defisit boleh dikurangkan sebahagiannya dengan meningkatkan hasil kerana kerajaan sudah mengatasinya setakat tahun ini, terutama dengan kutipan cukai korporat dan pelbagai duti lain," katanya.
 
Pada masa depan, Parera berkata hasil juga akan dipengaruhi situasi luar negara yang lebih baik terutama dengan perkembangan ekonomi lebih positif di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. 
 
“Kami juga menjangka penambahbaikan permintaan dari Eropah, terutama bagi eksport produk elektrik dan elektronik tempatan serta permintaan dari AS dan China.”

BERITA HARIAN ONLINE

No comments: