Monday, September 17, 2012

Pelatih PTD mati lemas semasa jalani latihan

PEKAN 16 Sept. - Seorang pelatih Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) sebuah kementerian di Kuala Lumpur meninggal dunia dipercayai akibat lemas semasa menjalani latihan wataniah di Kem Wataniah Sungai Miang di sini hari ini.
 
Ketua Polis Daerah, Supritendan Yahaya Othman berkata, dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa, Aldy Hasmi Abu Hassan, 35, lemas akibat dibawa arus deras semasa menjalani modul latihan lasak.
 
"Tali air tersebut mempunyai kedalaman antara tiga hingga enam meter dan mangsa dipercayai lemas semasa menjalani latihan berkenaan.
 
"Jenazah pelatih itu dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
 
Difahamkan, mangsa adalah antara 240 peserta pelatih PTD yang menjalani latihan wataniah bermula 3 September hingga 28 September di kem wataniah tersebut.
 
Katanya, mangsa yang tinggal di Damansara, Kuala Lumpur meninggalkan seorang isteri, Farah Fudhlana Zainuddin dan sepasang anak kembar berusia dua tahun. Jenazahnya dibawa ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah malam ini untuk dikebumikan di sana.
 
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa hari ini mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) menghentikan serta-merta aktiviti lasak melibatkan kursus Diploma Pengurusan Awam bagi bakal PTD serta kursus lain bagi pegawai-pegawai tidak beruniform.
 
Beliau juga mengarahkan JPA dan Intan supaya menyiasat serta mengemukakan laporan berhubung kejadian itu.
 
"Bagi pihak seluruh Perkhidmatan Awam, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan bersama orang yang beriman," kata Ali melalui laman Facebooknya.

UTUSAN ONLINE

No comments: