Thursday, September 20, 2012

PM lancar buku dalami 1Malaysia

Najib ketika pelancaran  buku yang membicarakan  1Malaysia  dari pelbagai perspektif dengan lebih mendalam di Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA


Najib ketika pelancaran buku yang membicarakan 1Malaysia dari pelbagai perspektif dengan lebih mendalam di Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA
 
Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan tiga buku membicarakan soal 1Malaysia dari pelbagai perspektif dengan lebih mendalam.

Tiga buku itu ialah Menjana Negara Sejahtera Bahagia Menjelang 2020 yang dihasilkan oleh Datuk Sahlan Ismail; Kreativiti dan Inovasi Penjanaan Peradaban Gemilang hasil karya Mohd Yusof Othman dan Budaya Ilmu dan Gagasan 1Malaysia oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud.  
 
Najib berkata, selepas Gagasan 1Malaysia diilhamkan beliau kira-kira tiga tahun lalu, fasa berikutnya adalah untuk menyatukan semua idea bagi merumuskan maksud, tafsiran, asas, serta prinsip yang didasari oleh gagasan itu.

Katanya, beliau menganggap sumbangan ilmuan menerusi penulisan masing-masing dalam buku-buku itu, sebagai satu usaha memberi tafsiran kepada Gagasan 1Malaysia secara lebih intelektual dan mendalam.

Melalui usaha sebegini, maka gagasan itu akan lebih mudah dihayati, di samping dapat mengelak daripada timbulnya tafsiran yang bertentangan dengan tujuan konsep gagasan itu dibangunkan, katanya pada pelancaran buku itu di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Antara artikel yang terkandung dalam buku-buku itu ialah Gagasan 1Malaysia Dari Perspektif Islam oleh Datuk Dr Ismail Ibrahim, Perpaduan Teras Pembinaan Sebuah Negara Maju oleh Prof Madya Mohd Ridhuan Tee Abdulah, serta 1Malaysia Konsep Wasatiyah dan Keadilan Sosial oleh Datuk Seri Dr Abdullah Mohd Zain.

Faham ilham PM
 
Turut menyumbang karya dalam naskhah itu ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang menulis artikel bertajuk Nilai-nilai Murni Dalam Gagasan 1Malaysia dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang menulis artikel bertajuk Keamanan dan Keselamatan Ke Arah Pembentukan Negara Maju.

Sahlan ketika ditemui berkata buku itu dihasilkan sebagai bahan bacaan asas bagi memudahkan orang ramai memahami Gagasan 1Malaysia diilhamkan Perdana Menteri.

Katanya pelbagai artikel yang terkandung dalam buku itu menerangkan dengan lebih terperinci konsep gagasan 1Malaysia dalam pelbagai perspektif.

Najib rai bekas KSU

Sementara itu, Najib menyifatkan kerjaya bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah mencerminkan tradisi perkhidmatan awam di Malaysia yang terbaik dengan bercirikan profesionalisme, integriti, amanah dan berhemah.

Perdana Menteri dalam ucapan pada majlis meraikan sumbangan Wan Abdul Aziz, merakamkan penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan serta nasihat yang diberikan selama memegang jawatan itu.

Saya selama ini amat menghargai sumbangan dan peranan yang dimainkan beliau terutama sekali sebagai penasihat kepada saya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, katanya pada majlis Malam Sekalung Budi Lambaian Kasih di Kementerian Kewangan di sini malam tadi.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang baru, Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
 
BERNAMA

No comments: