Wednesday, September 5, 2012

Kementerian Kesihatan kaji sistem waktu kerja doktor pelatih

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan mengkaji satu sistem hibrid menggabungkan kedua-dua sistem waktu kerja anjal dan ‘on-call’ bagi memastikan doktor pelatih mendapat pendedahan dan latihan mencukupi ketika menjalani 'housemanship' di hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pelaksanaan sistem 'on-call' sebelum ini menerima aduan bahawa ia membeban dan memberi tekanan kepada doktor pelatih. 
 
Sehubungan itu, beliau berkata, sistem ‘on-call’ digantikan dengan sistem waktu kerja anjal yang juga mendapat rungutan di kalangan doktor pelatih berikutan beberapa kelemahan termasuk kurang pendedehan klinikal.

"Kementerian Kesihatan sedar masalah dihadapi doktor-doktor pelatih dan kita sentiasa mencari jalan menambahbaik kebajikan dan memastikan mereka mendapat pendedahan dan latihan sempurna kerana kita tidak akan berkompromi dalam hal kualiti.

"Tidak ada sistem yang sesuai untuk semua kerana ia tidak boleh menyelesaikan isu kualiti dan latihan yang kita gunakan. Sehubungan itu, kita perlukan satu sistem hibrid yang lebih sempurna untuk doktor pelatih.

"Kita sedang melihat kepada satu sistem hibrid menggabungkan kedua-dua sistem 'on-call' dan waktu kerja anjal mengikut kesesuaian bagi memastikan doktor pelatih mendapat pendedahan klinikal secukupnya," katanya pada satu sidang media selepas menghadiri sambutan Merdekaraya Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Liow berkata, sebagai seorang menteri kesihatan, beliau mengambil berat mengenai pandangan orang awam dan kakitangan kementerian untuk menambahbaik latihan untuk doktor pelatih."Kerajaan sedia mendengar dan mencari sistem yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian itu akan mengkaji modul 'housemanship' di negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

“Kita sedang mengkaji beberapa sistem yang sesuai kerana jabatan tertentu memerlukan sistem ‘on-call’ agar doktor pelatih lebih bertanggungjbawab dan kuat khususnya mereka yang mahu menjadi pakar bedah Kardiothorakik," katanya.

Sementara itu, Liow berkata, tiada kajian dibuat mengenai doktor pelatih di negara ini tertekan ketika menjalani 'housemanship'.

Namun begitu, beliau berkata tekanan merupakan salah satu proses pembelajaran menimba ilmu dan kemahiran untuk menjadi lebih berdikari.

"Sistem yang ada sekarang sesuai untuk melahirkan doktor yang mahir. Ini menyebabkan doktor dari Malaysia menjadi rebutan di luar negara.

"Mereka tahu doktor kita berkualiti tinggi. Cuma kita perlu diperbaiki dari semasa ke semasa ialah cara mengurus paras tekanan stres," katanya.

BERNAMA

No comments: