Monday, October 1, 2012

14 termasuk pegawai JPJ diberkas

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Satu sindiket menjalankan kegiatan memperbaharui cukai jalan kenderaan yang diseludup sehingga mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit berjaya dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sindiket yang aktif sejak beberapa tahun lalu itu, turut dikesan menawarkan perkhidmatan bagi memperbaharui cukai kenderaan tamat tempoh melebihi setahun tanpa perlu pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom).

Malah, sindiket itu juga licik kerana mampu menukar segala butiran lain berkaitan kenderaan, termasuk nama geran dan pemilik asal.

Bagaimanapun, kegiatan yang beroperasi di Pahang dan Perak serta didalangi 'orang dalam' agensi terlibat, tumpas ekoran penahanan 14 individu, termasuk dua pegawai penguat kuasa, orang tengah (runner) dan ejen insurans.

Operasi dijalankan oleh SPRM Putrajaya selama sebulan itu adalah hasil serbuan di beberapa negeri ekoran maklumat awam dan risikan sejak awal bulan ini sehingga semalam.

Kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 40 tahun itu disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

SPRM juga mengesan dan menyita kira-kira 30 buah kereta yang menggunakan khidmat sindiket itu namun, percaya lebih banyak kenderaan terlibat.

Menurut sumber SPRM, siasatan mendapati sindiket itu mengaut keuntungan dengan cara mengeluarkan laporan tulen Puspakom dan JPJ tanpa kehadiran pemilik atau kenderaan yang diseludup.

"Ejen insurans akan menawarkan kepada pemilik untuk mendapatkan laporan itu dengan bayaran antara RM100 hingga RM800 mengikut jenis kenderaan.

"Pemilik kenderaan yang mahu mendapatkan cukai kenderaan tanpa melalui pelbagai prosedur atau para penyeludup akan menggunakan sindiket tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari Ini.

Menurutnya, SPRM sudah mengesan sejumlah kenderaan yang terlibat dalam kegiatan itu namun siasatan masih diteruskan bagi menentukan bilangan keseluruhan dan keuntungan diperoleh sindiket.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Syukri Abdull ketika dihubungi mengesahkan siasatan kes tersebut.

UTUSAN MALAYSIA

No comments: