Saturday, October 6, 2012

Kakitangan awam perlu aktif sukan

KANGAR 5 Okt. - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu berharap penganjuran sukan melibatkan kakitangan awam bukan sahaja menjadi medan terbaik rekreasi malah sebagai sesi perkongsian idea dan percambahan pendapat bagi memantapkan organisasi masing-masing.

Beliau berkata, ini kerana penganjuran sukan seperti ini memerlukan kerjasama dan komitmen jitu dan penggemblengan tenaga yang bukan sedikit.

"Setiap jabatan juga telah dipertanggungjawabkan menjadi tuan rumah bagi setiap acara yang dipertandingkan di mana semangat kesukanan ini wajar dipuji kerana mendapat penglibatan semua kontinjen yang bertanding bagi menjaya program," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pembukaan Sukan Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Negeri Perlis (JKPKPKK) di D'Arena Futsal, Jalan Stadium Utama, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis yang juga Pengerusi JKPKPKK, Mohamed Lokman Mahmud dan Pengarah Perpustakaan Negara Negeri Perlis, Norma Mohd. Darus selaku Pengerusi Penganjur Sukan JKPKPKK 2012.

Sebanyak lapan jabatan di Perlis terlibat dalam penganjuran sukan kali ke-4 itu yang terdiri daripada Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas Negeri Perlis (JASA), Perpustakaan Negara Malaysia, Jabatan Penyiaran, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Muzium Kota Kayang dan Kraftangan.

Selain itu, enam acara sukan dipertandingkan dari 2 hingga 18 Oktober iaitu boling, badminton, sepak takraw, bola tampar dan futsal.

Md. Isa berkata, sukan juga boleh dijadikan sebagai satu elemen penting dalam kehidupan bagi membina peribadi mulia dan membentuk masyarakat yang sihat.

"Secara tidak langsung sukan dapat melatih semangat berpasukan, kepimpinan, rasa tanggungjawab dan berdisiplin," katanya.

Beliau berkata, pekerja yang cergas dan aktif akan lebih sihat, berdaya saing selain dapat meningkatkan prestasi kerja.

Di samping bersukan, katanya, pengambilan makanan yang berkhasiat dan sesuai dengan diet juga amat penting.

Jelasnya, sukan dan diet yang seimbang perlu seiring untuk menjamin kesihatan tubuh badan berpanjangan.


NEW STRAITS TIMES

No comments: