Wednesday, October 3, 2012

Beku pertukaran

SHAH ALAM: Kerajaan negeri membekukan sementara pertukaran Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohamad Roslan Sakiman ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi membolehkan perbincangan dibuat antara Kerajaan Selangor dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, selepas perbincangan membabitkan pergerakan dan pertukaran kakitangan dibuat, satu pengumuman bersama akan dibuat.

Katanya, buat masa ini, Mohamad Roslan masih lagi bertugas di MBPJ.
“Perkara ini masih di peringkat perbincangan. Ia perlu diadakan dengan JPA juga bersama Exco supaya dapat memilih mereka yang sesuai untuk jawatan itu.

“Perbincangan ini masih belum sampai ke peringkat keputusan. Bila ada pergerakan, kami kena pindahkan orang lain. JPA ada hak untuk memindahkan orang, tetapi tidak ada hak terhadap jawatan seseorang,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Kolokium Penyelidikan Universiti Selangor (Unisel) 2012 dan pelancaran akaun laman sosial Facebook Unisel Researcher Frens di Dewan Serbaguna Unisel, di sini, semalam.

Kelmarin, Sekretariat Media Unit Perhubungan Awam MBPJ, dalam satu kenyataan media menyatakan bantahan terhadap arahan yang diterima daripada JPA melalui surat bertarikh 27 September lalu yang mengarahkan pertukaran Mohamad Roslan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Selangor berkuat kuasa kelmarin.
Kenyataan media itu, antara lain menyebut arahan itu tidak sah kerana ia bercanggah dengan Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang jelas menyatakan memberi kuasa mutlak kepada kerajaan negeri untuk melantik Datuk Bandar Pihak Berkuasa Tempatan.

Ditanya sama ada surat berkenaan sah atau sebaliknya, Abdul Khalid berkata, ia adalah sah, tetapi pertukaran itu masih belum dapat dilaksanakan.
“Saya tidak kata setuju atau tidak setuju. Kita akan adakan perbincangan supaya pergerakan itu berlaku dengan tertib.

“Dalam tempoh dua minggu, kami akan tentukan. Pada masa ini, hujung tahun, sukar kerana banyak kerja perlu dilakukan. Selalunya pertukaran berlaku pada awal tahun,” katanya.

HARIAN METRO

No comments: