Friday, October 5, 2012

Lantik guru sertai PVR

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang melantik guru sekolah sebagai anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) bagi menangani masalah jenayah di kawasan sekolah terutama kes penculikan pelajar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, dalam pembentangan Bajet 2013, kerajaan telah meluluskan penambahan 10,000 anggota PVR dengan peruntukan berjumlah RM70 juta.

Beliau berkata, penambahan anggota PVR membolehkan pasukan keselamatan itu meningkatkan kehadiran anggotanya di kawasan awam termasuk pusat beli-belah, kawasan perumahan dan sekolah dalam usaha mencegah jenayah.

"Kita mahu anggota polis bersifat omnipresence (terdapat di mana-mana) di lokasi yang menjadi tumpuan awam seperti pusat beli-belah, taman perumahan dan juga sekolah.

"Usaha tersebut diharap dapat membantu mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) fasa kedua yang menyasarkan mahu mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah," katanya dalam temuramah bersama Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Ismail, selain memberi fokus di tempat awam, pihaknya turut memberi perhatian terhadap sekolah kerana tidak mahu ibu bapa yang bekerja berasa bimbang tentang keselamatan anak-anak di sekolah.

Beliau berkata, polis memang memandang serius keselamatan di kawasan sekolah kerana tidak mahu kes penculikan menimpa kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodlier sebelum ini, berlaku pada pelajar lain.

Ismail berkata, pelantikan guru sekolah sebagai anggota PVR akan meningkatkan kehadiran anggota polis di kawasan sekolah, sekali gus menyebabkan penjenayah tidak berani mendekati pelajar.

Katanya, guru-guru yang dilantik sebagai anggota PVR akan diberi uniform, dihantar menjalani latihan agar memahami undang-undang dan dibenarkan memilih waktu bertugas mengikut kesesuaian jadual mereka supaya tidak mengganggu tugas mengajar.

"Cadangan mengambil guru sekolah sebagai penambahan 10,000 anggota PVR menerusi Bajet 2013 akan dibincangkan secara lanjut dengan Ketua Pengarah Pelajaran dalam tempoh terdekat ini.

"Selain guru sekolah, kita juga merancang melantik anggota PVR di kalangan komuniti perniagaan seperti pemilik pusat beli-belah kerana pelantikan mereka secara langsung menyedarkan mereka tentang tanggungjawab menjaga keselamatan di premis masing-masing," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, penyertaan kaum bukan Melayu terutama Cina dan India dalam kerjaya polis masih lagi rendah, meskipun kerajaan sudah memberikan pelbagai insentif untuk menarik minat mereka.

Beliau berasa sedih kerana penyertaan kaum Cina dan India dalam PDRM masih kecil sedangkan perkhidmatan mereka amat diperlukan dalam pasukan keselamatan itu.

 UTUSAN MALAYSIA

No comments: