Thursday, October 4, 2012

Tangguh sebulan sebelum tukar

KUALA LUMPUR: Pertukaran jawatan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman kepada Timbalan Setiausaha Negeri Selangor sepatutnya berkuat kuasa Isnin lalu, ditangguh sebulan, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.
Menurut beliau, penangguhan itu akan membolehkan Mohamad Roslan menyelesaikan semua kerja belum disempurnakan sebelum menyerahkan tanggungjawab itu kepada Datuk Bandar baru.

“Pertukaran seumpama ini sering berlaku di mana-mana pun. Ia adalah sebahagian daripada pelaksanaan pihak atasan untuk mengisi kekosongan jawatan.
“Malah jika kita mengambil kira semua faktor, pertukaran ini juga sebagai memberi peluang kenaikan pangkat kepada seseorang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pertukaran Mohamad Roslan yang dibekukan Kerajaan Negeri Selangor.

Difahamkan, Mohamad Roslan menerima surat pertukaran berkenaan pada 27 September lalu yang mengarahkannya bertukar pada Isnin lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana tiada sebarang pergerakan jawatan lagi di peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Dalam satu kenyataan semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan dan berbincang terlebih dulu dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung perkara itu sebelum satu pengumuman bersama dibuat.

Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, Mohamad Roslan diminta terus bertugas di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) seperti biasa.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin yang mahukan lebih banyak taska diwujudkan di jabatan kerajaan bagi memastikan lebih ramai wanita berpendidikan tinggi dapat bekerja, Ali berkata, infrastruktur di taman asuhan kanak-kanak (taska) di semua jabatan dan agensi kerajaan akan dipertingkat.

Katanya, pelaksanaan itu juga selaras peruntukan yang disediakan kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2013 pada 28 September lalu.

“Berdasarkan permintaan terhadap taska ini, rata-ratanya meminta kapasiti yang lebih besar. Jadi kita percaya sebilangan besar jabatan sudah pun menubuhkannya sementara yang belum ada, ia akan diwujudkan,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2011 bagi Agensi dan Badan Berkanun Persekutuan di sini, semalam. Majlis itu menyaksikan sebanyak 111 kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan yang memperoleh prestasi cemerlang empat bintang Indeks Akauntabili menerima anugerah berkenaan.

HARIAN METRO

No comments: