Friday, October 5, 2012

CUEPACS mahu dikaji semula

PULAU PINANG 4 Okt. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mengkaji semula kadar faedah pinjaman perumahan sebanyak empat peratus yang dikenakan ke atas penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, perkara itu berikutan kadar yang dikenakan tersebut membebankan kakitangan awam yang terpaksa membeli rumah dengan harga semakin tinggi.

Menurutnya, langkah Kementerian Kewangan membenarkan bank komersial menawarkan pinjaman perumahan kepada penjawat awam juga harus dikaji semula.

“Kadar faedah empat peratus yang ditetapkan itu berdasarkan harga rumah yang masih rendah tetapi tidak lagi sesuai kini kerana harga rumah semakin tinggi.

“Selain itu, jika sebelum ini pinjaman melalui Bahagian Pinjaman Perumahan Kementerian Kewangan boleh dibuat 100 peratus, tetapi jika diserahkan kepada bank, kita bimbang pembeli terpaksa membayar deposit antara lima hingga 10 peratus," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas seminar Merakyatkan Sektor Perkhidmatan Awam di sini hari ini.

Seminar itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus yang turut dihadiri oleh Pengerusi CUEPACS negeri, Mohd. Sayuthi Harun.

Tambah Omar, pihaknya masih menunggu pihak Perbendaharaan mengadakan taklimat mengenai isu itu supaya dapat diperhalusi sebelum dipersetujui.

Selain itu jelasnya, CUEPACS juga akan memantau proses pinjaman dengan bank-bank komersial supaya tidak membebankan kakitangan awam.

Pada masa sama, beliau turut merayu kerajaan mengkaji semula imbuhan tetap perumahan kepada penjawat awam berikutan harga rumah serta kadar sewa yang semakin meningkat.

“Isu perumahan ini amat kritikal dan perlu diberi perhatian serius kerana sering menjadi topik hangat dalam kalangan 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

UTUSAN MALAYSIA

No comments: