SEBAGAI pengguna tetap perpustakaan di IKBN Kuala Perlis, saya rasa terpanggil untuk menyatakan rasa kekesalan dan kekecewaan kami pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan pengguna lain di perpustakaan ini.
Sepanjang tahun 2012, saya dapati ada pekerja di perpustakaan ini membawa masuk kanak-kanak berusia empat tahun setiap hari selepas waktu persekolahan dan juga di waktu cuti sekolah. Keadaan ini berlarutan sejak awal Januari 2012 lagi hinggalah ke hari ini.
Memandangkan perpustakaan bukanlah tempat untuk kanak-kanak seusia itu berada di dalamnya, tentulah kami pengguna perpustakaan ini sering terganggu dengan bunyi tangisan, hilai tawa, berkejaran dan berlari ke sana sini di dalam perpustakaan serta bunyi bising yang kami dengar sepanjang masa selepas tamat persekolahan.
Amatlah tidak sesuai kanak-kanak dibawa masuk ke perpustakaan ini, apatah lagi penjaga kepada kanak-kanak tersebut lebih memberi tumpuan kepada kanak-kanak tersebut seperti memandikannya, menidurkan dan memujuknya apabila kanak-kanak tersebut membuat bising atau menangis daripada menjalankan tugas.
Sehubungan itu, saya amat berharap agar pihak-pihak yang berkaitan dapat memantau kehadiran kanak-kanak tersebut yang tentunya menganggu kami pengguna perpustakaan tersebut dan juga mengganggu tugas pegawai tersebut yang bertugas di perpustakaan ini.
PELAJAR KESAL,
Kuala Perlis, Perlis.
UTUSAN
MALAYSIA
No comments:
Post a Comment