Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada aduan dalam ruangan ini pada 3 Oktober 2012 (Rabu) bertajuk Pekerja Bawa Anak Kecil Ke Perpustakaan IKBN Kuala Perlis.
Adalah dimaklumkan, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis merupakan salah sebuah institut yang menawarkan latihan teknikal, ditubuhkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Antara objektif institut ini adalah untuk menyediakan latihan kemahiran dalam tiga bidang utama iaitu Automotif, Binaan dan Maritim sepertimana ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Untuk makluman, institut ini juga memiliki kemudahan lain seperti dewan serba guna, padang bola sepak, gelanggang takraw, bola tampar dan futsal khusus untuk kegunaan aktiviti harian pelajar IKBN. Bagi kegunaan orang awam, ia adalah sangat terhad, malah mereka perlu mendapat kebenaran khas daripada Pengarah IKBN selagi ia tidak mengganggu jadual aktiviti pelajar.
Pihak institut ingin memberi penjelasan terhadap beberapa perkara berhubung isu yang dibangkitkan, antaranya ialah:
- Semenjak institut ini mula beroperasi, belum pernah lagi perpustakaan ini dibuka untuk kegunaan orang awam mahupun pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
- Institut ini dilengkapi dengan kawalan keselamatan di pintu masuk bagi memastikan kehadiran daripada orang awam ataupun pelajar UniMAP ke institut ini. Adalah mustahil mereka yang berkenaan dapat masuk ke institut ini tanpa sebarang urusan.
- Selain daripada itu juga, institut ini memiliki aset-aset yang bernilai tinggi dan menjadi tanggungjawab institut untuk memastikan keselamatan aset tersebut terjaga. Oleh sebab yang demikian pihak institut perlu menghadkan kemasukan dan penggunaan kemudahan di IKBN kepada orang awam.
- Kedudukan perpustakaan yang berada di bawah bangunan Pentadbiran Institut, dan pemantauan sering dilakukan oleh pihak pengurusan IKBN. Sehingga kini belum pernah melihat kakitangan perpustakaan melakukan perkara sebagaimana isu yang dibangkitkan.
- Pihak institut juga merekod semua kehadiran pelajar IKBN yang menggunakan perpustakaan ini melalui Kad Matrik dan sehingga kini tiada rekod orang awam mahupun pelajar daripada UniMAP.
- Buku-buku yang terdapat di sini juga adalah sangat terhad dan tidak sesuai untuk rujukan bagi pelajar di peringkat universiti.
- Untuk makluman, terdapat Perpustakaan Awam yang terletak bersebelahan institut ini. Besar kemungkinan kekeliruan ini berlaku disebabkan pengadu mungkin tidak meneliti terlebih dahulu hak milik sebenar perpustakaan tersebut. Di sini pihak institut ingin menegaskan Perpustakaan IKBN hanya terhad kepada pelajar yang mengikuti pengajian di sini sahaja.
Sehubungan dengan ini, pihak institut mohon agar tuan dapat memberi penjelasan berhubung perkara ini agar tiada pihak yang memberi tanggapan yang salah terhadap Perpustakaan IKBN Kuala Perlis.
Pihak institut juga berharap pihak Biro Pengaduan Awam dapat membuat siasatan mengenai perkara ini dan pihak institut akan memberi kerjasama sepenuhnya demi untuk menjaga dan memulihkan nama baik Perpustakaan IKBN khususnya dan Institut Kemahiran Belia Negara Kuala Perlis amnya.
Diharapkan dengan penjelasan yang diberikan, perkara ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik dan berhemah. Kerjasama tuan berhubung perkara ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.
IZAHAR IBRAHIMPengarah IKBN Kuala Perlis,
IZAHAR IBRAHIMPengarah IKBN Kuala Perlis,
Perlis
UTUSAN
MALAYSIA
No comments:
Post a Comment