BACHOK 12 Ogos - Bajet 2013 yang dijangka dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 September ini lebih berkonsepkan mesra rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, ia memandangkan kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi fokus utama terhadap keperluan rakyat selaras dengan gagasan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
Beliau berkata, kementerian tersebut sedang melakukan persiapan rapi untuk Bajet 2013 dan ia meliputi semua aspek berkaitan.
"Bagi memastikan persiapan untuk Bajet 2013 tidak terjejas, kita terpaksa mengawal cuti Hari Raya Aidilfitri pegawai yang terlibat kerana bajet lebih penting untuk diselesaikan.
"Pegawai yang berkaitan memang menjalankan tugas siang dan malam bagi menyiapkan laporan lengkap dan kerja-kerja pembaikan lain yang menjadi nadi penggerak negara selepas pembentangan nanti," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan zakat kepada golongan miskin, warga tua dan ibu tunggal di Sekolah Menengah Teratak Pulai, dekat sini hari ini.
Zakat tersebut disumbangkan Uda Holding Sdn Bhd. dan syarikat Percetakan Nasional (M) Bhd.. Awang Adek yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok berkata, Bajet 2013 adalah lebih kompeten kerana mengambil kira keseimbangan antara pembelaan nasib rakyat, usaha meningkatkan ekonomi negara, peningkatan hasil negara dan produktiviti serta usaha menarik pelaburan yang pastinya akan memberi impak positif kepada rakyat dan negara.
UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment