KUALA LUMPUR 13 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan bahawa menangani isu kenaikan kos sara hidup kekal sebagai satu komitmen utama kerajaan.
"Ini merupakan isu paling hangat yang sentiasa disampaikan oleh rakyat ketika saya membuat walkabout sama ada di kawasan bandar mahupun di kawasan kampung seluruh pelosok negara.
"Hakikatnya, sejak kerajaan menjadikannya sebagai sebuah bidang utama GTP (Program Transformasi Kerajaan), pelbagai langkah telah diambil untuk meringankan beban rakyat, antaranya Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia dan lain-lain lagi," katanya dalam entri terbaru menerusi blog www.1Malaysia. com.my hari ini.
Najib berkata, inisiatif ini akan diperkembangkan lagi sebelum akhir tahun tetapi jelas bahawa terdapat banyak yang perlu dilakukan dan kerajaan memberi jaminan akan mengambil berat semua pendapat serta cadangan yang disumbangkan.
Beliau berkata, sejumlah 4,175 cadangan dan komen dikumpul dari Google Moderator dan laman web peribadi beliau mengenai cara terbaik bagi kerajaan menyediakan Bajet 2013.
Beliau berkata jumlah cadangan dan pendapat ini hampir lima kali ganda daripada jumlah cadangan perbincangan bajet tahun lepas.
"Saya sentiasa menghargai input rakyat dalam proses membuat keputusan yang mempunyai pengaruh terhadap negara kita dan sama seperti anda apabila anda meluangkan masa untuk memberi pendapat, saya berbesar hati untuk berkongsi bersama anda pandangan saya tentang Bajet 2013 ini," katanya.
Najib berkata, topik kedua terhangat adalah berkenaan kos perumahan dan ini merupakan satu lagi isu berpanjangan dan kerajaan telahpun melakukan beberapa langkah untuk menanganinya.
"Secara khusus, dasar perumahan kita telah dikhaskan untuk golongan perlu dengan adanya Program Rumah 1Malaysia (PR1MA) yang menyediakan perumahan buat mereka yang berpendapatan sederhana dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) buat mereka yang berpendapatan rendah," katanya.
Beliau berkata kedua-dua isu itu jelas terbukti berada dekat di hati rakyat namun kerajaan tidak akan mengabaikan isu lain yang turut disuarakan.
Ini termasuk keprihatinan tentang keselamatan awam, peranan belia dalam pembangunan negara, penghasilan makanan serta hiburan dan industri kreatif — semuanya akan diberi pertimbangan sewajarnya, katanya.
Najib berkata, sumbangan rakyat akan dapat membantu kerajaan membentangkan bajet yang terbaik untuk rakyat.
"Pada saat ini hinggalah 28 Sept. nanti (Bajet 2013), kami akan berusaha keras untuk menghasilkan sebuah bajet yang dapat kita semua berasa bangga," katanya.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment