Tuesday, August 28, 2012

Pesara enggan terima pencen lebih

Radzuan menunjukkan surat bayaran balik Emolumen RM36,385.98 yang diterimanya dari Pejabat Kesihatan Seremban. - Foto Hazreen Mohamad


Radzuan menunjukkan surat bayaran balik Emolumen RM36,385.98 yang diterimanya dari Pejabat Kesihatan Seremban. - Foto Hazreen Mohamad
Seremban: Pencen bulanan seorang pesara ialah RM2,600 tetapi jumlah yang dikreditkan dalam akaunnya RM7,000.

Bekas Penolong Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan negeri, Radzuan Awaludin, 59, berkata perkara itu disedari ketika mahu mengeluarkan wang pencennya pada Februari lalu selepas tempoh perkhidmatan kontraknya pada jawatan sama selama dua tahun berakhir pada 30 Januari lalu.
    
Katanya, selepas bersara, dia ditawarkan bekerja kontrak selama dua tahun mulai Disember 2009 bagi jawatan sama Gred U36 dengan gaji bulanan tahun pertama sebanyak RM4,355 dan tahun kedua RM4,521.

Jumlah banyak

Ketika memeriksa akaunnya, dia terkejut kerana jumlah pencen diterima lebih daripada sepatutnya.

“Saya bertanya kepada jabatan dan tanpa membuat sebarang semakan, mereka kata ia duit saya kerana dimasukkan ke akaun saya.

“Bulan seterusnya saya terima jumlah yang sama dan menghubungi pihak jabatan lagi namun mereka masih kata wang saya. Saya beri peringatan kepada mereka jika benar mereka melakukan kesalahan, saya tidak mahu menanggung hutang," katanya di sini, semalam.

Radzuan berkata, dia menerima pencen lebih sehingga Julai lalu sebelum menerima panggilan telefon pada 8 Ogos daripada ketua kerani kewangan jabatan memaklumkan mereka tersalah memasukkan wang gaji kepada saya.

"Saya kemudian menerima surat bertarikh 9 Ogos daripada Jabatan Kesihatan negeri yang meminta membayar sebanyak RM36,385.98 dan mereka memohon maaf atas kesilapan tidak disengajakan.

“Surat itu turut disertakan dengan salinan slip gaji bagi membuktikan kesalahan mereka yang tersalah memasukkan wang ke akaun saya,” katanya yang mahu jabatan menyiasat perkara itu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zailan Adnan, ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Radzuan dalam tempoh terdekat bagi menyelesaikan perkara berkenaan.
 
BERITA HARIAN ONLINE

No comments: