Wednesday, August 29, 2012

SPRM mampu tingkat hasil negara

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu melihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai agensi yang mampu meningkatkan hasil kerajaan, bukan membebankannya.

Berikutan itu, sejajar matlamat Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 untuk menjadikan SPRM sebagai badan profesional, kerajaan disaran mempertimbangkan peruntukan lebih besar dalam Bajet 2013 untuk memantapkan operasi dan perkhidmatannya.
Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata kerajaan perlu yakin bahawa pelaburan tinggi dalam SPRM, menjamin pulangan berganda.

“Setiap RM1 yang dilaburkan kepada SPRM, bermakna ia boleh menyelamatkan duit kerajaan dalam bentuk rasuah, ketirisan, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Pulangan tinggi

“Malah, pulangannya lebih tinggi berbanding jumlah dibelanjakan untuk menambah bilangan kakitangan profesional bagi menghasilkan kertas siasatan kukuh,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata SPRM wajar mendapat sekurang-kurangnya RM360 juta dalam Bajet 2013 bagi meningkatkan kepakaran dalam bidang siasatan, pencegahan dan komunikasi.

Pada Bajet 2012, SPRM hanya diperuntukkan RM212 juta, kira-kira 0.0009 peratus daripada keseluruhan bajet iaitu RM230 bilion.

Jumlah rendah

Jumlah itu disifatkan rendah berbanding peruntukan diterima Biro Siasatan Rasuah Singapura iaitu 0.6 peratus daripada bajet, manakala Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong mendapat 0.27 peratus.

Sementara itu, Setiausaha Agung Transparency International-Malaysia (TI-M), Josie M Fernandez, berkata bajet untuk SPRM adalah pelaburan untuk meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara.

“Negara yang berjaya mengawal rasuah, meningkatkan keyakinan pelabur asing,” katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments: