Monday, August 6, 2012

SPAD lancar terminal transit bas bandar

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melancarkan satu lagi projek utama di bawah Greater KL, iaitu penyusunan semula rangkaian laluan bas bandar di Kuala Lumpur.

Khususkan laluan bas

Projek yang dijangka dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada suku keempat tahun ini itu akan membabitkan langkah mengkhususkan laluan bas bandar bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan lambakan bas awam di sekitar ibu kota.

Sejajar langkah itu, SPAD juga akan memperkenalkan Terminal Transit Antara Bandar (IUTT) di beberapa kawasan pusat perniagaan utama iaitu di Titiwangsa, KLCC, Pudu Sentral dan Pasar Seni.

Ketua Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Kamal, berkata langkah memperkenalkan penyusunan semula laluan bas itu akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan dan masa perjalanan pengguna.

Jumlah kekerapan bas ambil penumpang ditingkatkan

Katanya, jumlah kekerapan bas mengambil penumpang juga akan dapat ditingkatkan dengan jangkaan sebuah bas bagi setiap dua hingga lima minit pada waktu puncak, manakala lapan hingga 15 minit di luar waktu puncak.

Empat laluan bas bandar akan diperkenalkan iaitu Pasar Seni-Bukit Bintang dan KLCC-Bukit Bintang yang dijangka dilancarkan bermula akhir bulan depan diikuti peringkat seterusnya Titiwangsa-Medan Pasar dan Titiwangsa-Pasar Seni.

Kami merancang bas bandar ini akan bergerak dalam laluan khas bagi menjamin perkhidmatan yang cekap dan tempoh perjalanan yang lebih singkat, katanya kepada BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengenai IUTT, beliau berkata, ia adalah perhentian akhir bas henti-henti dari kawasan pinggiran bandar yang bakal berfungsi sebagai pusat pemindahan penumpang ke bas bandar atau perkhidmatan rel.

Katanya, IUTT yang dibina dengan kos RM8 juta sebuah itu disepadukan dengan perkhidmatan pengangkutan awam lain seperti rel bagi meningkatkan pilihan perjalanan penumpang ke destinasi di sekitar pusat bandaraya.

Terdapat IUTT yang dibina baru dan dinaikkan taraf seperti di Pasar Seni dan Titiwangsa dalam pembinaan manakala KLCC dan Pudu Sentral adalah IUTT yang dinaikkan taraf daripada stesen bas sedia adanya, katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments: