Thursday, August 2, 2012

Bayar saman serta-merta

Kesalahan Trafik: Didik pemandu, atasi masalah kes tertunggak

Putrajaya: Kerajaan disaran melaksanakan sistem saman dan bayar serta-merta terhadap pesalah lalu lintas bagi mendidik pemilik kenderaan mematuhi peraturan jalan raya. Antara kesalahan yang sering dilakukan ialah melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan meletakkan kenderaan di lokasi tidak sepatutnya.

Selain itu, kerajaan diminta memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengunci tayar dan menyita kenderaan yang mempunyai saman tertunggak.

Atasi tunggakan saman Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA), Tun Zaki Azmi, berkata cadangan itu dikemukakan oleh CUEPACS bagi mengatasi masalah berjuta-juta saman trafik yang belum dijelaskan oleh pengguna dan pemilik kenderaan.

Katanya, cadangan itu membolehkan kerajaan berlaku adil terhadap pesalah trafik yang membayar saman apabila melakukan kesalahan, walaupun secara ansuran.

“Cadangan ini disokong wakil pelbagai agensi penguat kuasa pengangkutan serta PBT yang menghadiri mesyuarat khas SKMTPA. Terserah kepada Peguam Negara untuk mengkaji aspek perundangan bagi membolehkan ia dilaksana dengan mengguna pakai undang-undang sedia ada," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu semalam.

Mengulas lanjut, Azmi berkata peraturan itu diguna pakai di beberapa negara, termasuk di Singapura, United Kingdom dan Australia. Ditanya sama ada ia akan membebankan pengguna, Zaki berkata walaupun ada undang-undang, pemilik kenderaan tidak perlu panik dan marah jika mereka mematuhi peraturan jalan raya.

“Kalau salah dia didenda atau dihukum. Namun, setakat ini berjuta saman bukan saja tidak dibayar, malah diketepikan begitu sahaja seperti tidak menghormati undang-undang. Ini tidak adil kepada mereka yang patuh bayar saman dan mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka,” katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments: