Wednesday, August 8, 2012

Kad diskaun tentera, polis

Putrajaya: Kerajaan melancarkan kad diskaun 1Malaysia Privilege Card khusus untuk anggota tentera dan polis yang melayakkan mereka mendapat potongan harga sehingga 25 peratus ketika membeli-belah di lebih 20 syarikat.

Kad yang diilhamkan Datuk Seri Najib Razak itu menawarkan diskaun di pelbagai syarikat, termasuk Mydin, KFC, Jakel Trading, Al-ikhsan dan BHPetrol kepada kira-kira 241,000 pegawai dan anggota polis serta tentera.

Balas pengorbanan

Syarikat yang mengambil bahagian akan ditambah dari semasa ke semasa dan pemegang kad boleh mendapatkan senarai di laman web www.1mprivilege.my.

Ketika melancarkan kad itu semalam, Perdana Menteri berkata, ia sebagai membalas jasa pengorbanan polis dan tentera yang berjasa besar menjaga keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.

Katanya, inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 6 (NBOS 6) itu juga adalah sambungan kepada kerjasama erat yang unik antara pihak polis dan tentera yang belum pernah dilakukan di mana-mana negara sebelum ini.

Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya mengambil masa tiga bulan bagi menghasilkan 1Malaysia Privilege Card.

Usaha bantu rakyat

Ini adalah antara strategi cepat, tepat dan integriti kerajaan dalam usaha membantu rakyat, termasuk warga polis dan ATM. Kita ada dua kaedah meningkatkan kuasa beli, sekali gus menambahbaik mutu kehidupan rakyat.

Kita boleh tambah gaji serta elaun tetapi ada batasnya dan kita sudah berbuat demikian berdasarkan kemampuan dengan gaji penjawat awam dinaikkan tujuh hingga 13 peratus awal tahun ini. Bulan lalu diumumkan bonus separuh bulan untuk penjawat awam, selain RM500 kepada pesara.

Satu lagi opsyen ialah mencari jalan meningkatkan kuasa beli dengan menambah barangan, produk dan khidmat yang diperlukan rakyat pada kos atau harga yang dapat dikurangkan, katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments: