Jamil Salleh (kanan) bersalam dengan penggantinya, Lokman Hakim Ali sambil disaksikan Khairy Jamaluddin dalam majlis meraikan perpisahan Jamil di Putrajaya, semalam. – Utusan/Zaki Amiruddin
MUKADIMAH
SEBAGAI Ketua Setiausaha termuda, DATUK LOKMAN HAKIM ALI, 45, menyedari beliau pastinya akan menjadi tumpuan masyarakat umum terutamanya golongan muda.
Namun begitu baginya, jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang disandangnya kini disifatkan sebagai satu tanggungjawab yang perlu digalas dengan sebaik-baiknya kerana beliau kini bukan sahaja membawa imej kerajaan tetapi juga membawa obor aspirasi golongan muda di negara ini.
Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Putrajaya, Lokman Hakim berkata, pelantikan orang muda sepertinya mencerminkan transformasi kerajaan khususnya dalam perkhidmatan awam, bukan sahaja melalui kecekapan perkhidmatan serta sistem perlaksanaan tetapi juga dalam pentadbiran perjawatan itu sendiri.
UTUSAN: Sebagai Ketua Setiausaha paling muda, bagaimana Datuk melihat tanggungjawab yang tergalas di bahu Datuk?
LOKMAN HAKIM: Saya berterima kasih kerana pelantikan ini merupakan satu penghargaan kepada golongan muda dan saya berterima kasih kepada kerajaan dan Menteri Belia dan Sukan sendiri serta Ketua Setiausaha Negara yang memberi kesempatan kepada saya.
Ini merupakan transformasi yang diuar-uarkan oleh kerajaan khususnya dalam perkhidmatan awam, bukan sahaja dalam kecekapan perkhidmatan serta sistem perlaksanaan tetapi dalam pentadbiran perjawatan itu sendiri.
Apabila dimaklumkan bahawa saya akan menerajui KBS dan mengambil alih tempat Datuk Seri Jamil Salleh, ia merupakan sesuatu tanggungjawab yang cukup besar. Datuk Seri Jamil telah meletakkan batu asas kecemerlangan yang tinggi bagi saya.
Bagaimana kesediaan Datuk untuk menggalas aspirasi golongan belia dalam pentadbiran kerajaan?
Selama satu tahun setengah Datuk Seri Jamil telah ajar saya bagaimana kita hendak menerajui dan mencapai matlamat di kementerian ini. Hari ini saya ada di sini untuk membantu menteri mencapai matlamat kementerian khususnya dalam Misi Belia Ke Belia.
Walaupun program seperti Fit Malaysia dan Hari Sukan Negara berorientasikan sukan tetapi pihak berkepentingan dan audiens mereka adalah golongan muda.
Jadi, program-program sukan ini juga sebenarnya telah mewarnai golongan belia itu sendiri.
Ini amanah daripada Kerajaan Malaysia kepada saya terutamanya Menteri Belia dan Sukan dalam memastikan bahawa segala program dirancang dilaksanakan dengan lancar lebih-lebih lagi persiapan acara besar seperti Sukan SEA nanti.
Apa strategi dan pendekatan baharu yang Datuk ingin gerakkan di kementerian selaras dengan aspirasi orang muda?
Bagi orang muda, KBS akan adakan kepelbagaian aktiviti. Kita juga akan lihat isu-isu semasa termasuk kos sara hidup dan pekerjaan. Sebagai contoh, kita akan memberi penjelasan tentang tindakan-tindakan yang diambil kerajaan dan juga tindakan yang perlu di lakukan oleh belia itu sendiri.
Jadi, dalam melaksanakan perkara ini, bukan sahaja program outreach kita perlu buat tetapi pada pendapat saya kita perlu buat banyak aktiviti melibatkan belia.
Dengan adanya penglibatan belia secara terus seperti melalui platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta aktiviti kesukarelaan, secara tidak langsung belia faham keadaan sebenar on the ground dan menjadi penggerak serta pelaksana program-program ilmiah.
Segelintir belia sudah ada dalam struktur program di KBS terutamanya kesukarelaan. Kita juga akan wujudkan program-program baharu untuk menarik penglibatan belia sedekat-sedekatnya kepada masyarakat.
Apa yang Datuk rasakan apabila banyak mata mula tertumpu pada Datuk?
Saya akui kini berada ‘di bawah mikroskop’ (ketawa). Apa yang saya buat akan diinterpretasikan dengan pelbagai cara. Pada saya, cara terbaik adalah buat keputusan selepas mengkaji sedalam-dalamnya terlebih dahulu berdasarkan perundingan.
Banyak lagi perkara saya perlu belajar sebelum membuat keputusan melibatkan polisi. Kita ada penjawat-penjawat awam yang berpengalaman dan saya akan terus berunding dengan mereka setiap masa.
Ini kerana perkara-perkara signifikan yang berlaku di dunia ini kebanyakannya bukanlah kerja seorang manusia sahaja tetapi berpasukan. Saya rasa gabungan orang muda dan yang berpengalaman akan memberi kesan baik kepada pentadbiran kerajaan.
Saya gembira kerana kerajaan memandang tinggi potensi belia walaupun saya sudah melepasi lingkungan umur tersebut, tetapi ia penting untuk memberi petunjuk kepada pegawai-pegawai muda bahawa mereka perlu bekerja lebih keras dan sedar potensi diri masing-masing.
Kita semua ada potensi tetapi perlu menyedari apakah potensi yang ada, mereka perlu bekerja keras bersama semua pihak termasuk yang berpengalaman. Sudah tentu nilai-nilai seperti moral baik, berfikiran ke depan serta rangkaian hubungan akan banyak membantu dalam proses tersebut.
Saya percaya kalau kita terus fokus kepada kerja kita dari mula, kita akan dihargai dan dicontohi.
Adakah sukar untuk memberi arahan kepada mereka yang jauh berpengalaman?
Dari awal dalam hidup saya, saya melakukan banyak rangkaian. Justeru keserasian itu datang secara semula jadi, ramai pegawai kanan adalah pegawai yang telah lama berkhidmat.
Saya perlu bersama tokoh-tokoh kerajaan ini dalam melaksanakan kerja. Saya berasa selesa bekerja dengan mereka. Saya menghormati pengalaman mereka dan menghargai kebijaksanaan mereka.
Kami perlu bekerjasama, inilah jalinan baik yang telah diwujudkan. Di KBS 60 peratus terdiri daripada golongan muda, generasi baharu kian mengambil alih tugas lebih-lebih apabila yang berpengalaman akan bersara.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment