SAYA ingin menyentuh kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kelmarin yang mengesahkan seorang pegawai kanan di kementeriannya telah ditahan dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Kenyataan beliau telah menghentikan spekulasi sesetengah pihak mengenai pegawai kanan di kementerian manakah yang telah melakukan penyelewengan berkenaan?

Berikutan pengesahan itu, sudah tentu rakyat kini lebih memberi fokus terhadap hasil penyiasatan pasukan siasatan bebas yang ditubuhkan bagi mengenal pasti kelompongan dalam prosedur perolehan kementerian itu selain menambah baik proses tatacara kewangan dalaman.

Segala hasil siasatan perlu didedahkan kepada orang ramai sebagai bukti kerajaan sentiasa telus dalam pentadbirannya.
Dalam pada itu, satu kemusykilan orang ramai yang harus dijawab oleh pasukan siasatan terbabit ialah bagaimana penyelewengan berkenaan boleh berlaku dalam tempoh yang panjang iaitu sejak 2010 tanpa dapat dikesan?

Bagaimana seorang pegawai kanan yang bertugas sebagai setiausaha bahagian yang menduduki senarai kelapan terpenting dalam sebuah kementerian boleh hidup dengan kemewahan melampau tanpa disedari rakan-rakan yang bertugas satu pejabat dengan beliau?

Akhbar telah melaporkan lelaki berusia 56 tahun itu mempunyai kereta mewah, dua buah rumah, 40 beg tangan berjenama, barangan kemas, insurans, unit amanah bernilai jutaan ringgit dan kerap berkunjung ke luar negara bersama isteri serta dua anaknya dengan penerbangan kelas pertama yang kosnya kira-kira RM80,000 seorang.

Bukankah Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, mengkehendaki kakitangan awam mengisytiharkan harta yang mereka miliki apabila mula dilantik, bila ada pertambahan harta baharu, bila melupuskan harta yang telah dilaporkan atau bila diarah oleh kerajaan?

Harta yang perlu diisytiharkan termasuk yang dipunyai oleh pegawai, harta yang dipunyai oleh isteri dan juga yang dipunyai oleh anak pegawai yang di bawah tanggungannya.

Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2002 pula menghendaki pegawai awam mengisytiharkan harta setiap lima tahun sekali atau tiga tahun sekali bagi ketua jabatan atau setiap kali mula memegang jawatan ketua jabatan yang baharu.
Adakah segala peraturan ini hanya berada di atas kertas sahaja dan tidak dipraktikkan?

Satu lagi yang menjadi persoalan saya ialah bagaimana seorang setiausaha bahagian boleh mempunyai kuasa begitu besar untuk mempengaruhi proses kelulusan dana kerajaan yang bernilai lebih RM100 juta.

Seperti yang telah dilaporkan dalam media massa, penyaluran peruntukan melibatkan program pembangunan tidak memerlukan persetujuan atau tandatangan pihak atasan seperti Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian.

Dalam kes ini, kementerian tersebut telah membuat bayaran kepada kira-kira 14 syarikat kontraktor yang bersekongkol dengan lelaki terbabit untuk tujuan menjayakan program-program berkaitan sukan yang tidak wujud.

Pengajaran daripada kes ini adalah masih wujud kelemahan dari segi proses audit dalaman kementerian pada setiap tahun dan juga yang dilaksanakan secara berasingan oleh Jabatan Audit Negara yang perlu ditambah baik dengan segera.

SENTIASA PANAS
Temerloh, Pahang
Utusan Malaysia Online