SAYA ingin mengutarakan rasa kesal dengan perkhidmatan yang diberikan segelintir kakitangan kerajaan sedangkan mereka hakikatnya adalah duta kecil negara yang perlu berhadapan dengan masyarakat setiap hari.
Baru-baru ini saya ada berurusan dengan satu organisasi kerajaan. Setelah beberapa kali cuba menghubungi mereka, panggilan saya akhirnya dijawab. Itupun terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama untuk diangkat.
Bukan setakat kakitangan bertugas berkenaan menjawab seperti tiada tenaga malah soalan yang diajukan dilayan seperti acuh tak acuh.
Apa-apa pun, terima kasih atas usaha menjawab dan menyelesaikan masalah saya walaupun saya terpaksa menunggu lama di talian.
Oleh kerana kakitangan berkenaan tidak dapat menjawab soalan yang saya ajukan, dia meminta izin untuk saya menunggu di talian, sambil dia merujuk kepada individu yang sepatutnya.
Berasa seperti tiada etika yang diamalkan apabila semasa menunggu itu saya dapat mendengar kakitangan lain di situ berborak tentang hal percutian, makanan dan rumah tangga sambil diiringi gelak ketawa yang kuat.
Walaupun saya di hujung talian tetapi suara mereka sangat jelas menyebabkan setiap butir perbualan mereka ‘dinikmati’ saya yang jauh ini.
Bukan itu sahaja, saya juga dapat mendengar deringan telefon lain yang dibiarkan begitu lama dan kejadian itu berlaku banyak kali.
Sementara mereka berbual, apa salahnya mereka mengambil alih tugas rakan yang sibuk menguruskan masalah saya dengan menjawab panggilan telefon berkenaan.
Bukanlah niat saya untuk menuding jari menyatakan kes ini berlaku di setiap jabatan dan agensi sektor kerajaan. Walaupun kes ini hanya melibatkan segelintir penjawat awam, situasi berkenaan tetap menjengkelkan orang ramai dan boleh menjatuhkan imej kakitangan kerajaan keseluruhannya.
Saya ingin memohon, kalau nak berbual sekalipun, janganlah sampai melupakan tanggungjawab yang diamanahkan. Begitu juga dengan kawalan ‘kekecohan’ yang dirasa perlu dibuat ketika waktu pejabat, lebih-lebih lagi bila berhampiran dengan telefon.
Manalah tahu apa yang dibincangkan tu berkaitan urusan rahsia negara. Bahaya tu!
AZIZI DAIN
Kota Tinggi, Johor
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment